Raja Zarith melihat peserta mencanting batik. Kredit Gambar: Sinar Harian

Raja Zarith melihat peserta mencanting batik. Kredit Gambar: Sinar Harian

JOHOR BAHRU – Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan mencemar duli menghadiri Program Canting, anjuran Fakulti Alam Seni Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM), semalam.

Zarith Sofiah yang juga Canselor UTM turut diiringi isteri Menteri Besar, Datin Seri Rosni Omar pada program berkenaan.

Sebanyak 40 hasil seni canting dihasilkan 55 penuntut peringkat Sarjana Muda dan Sarjana daripada kursus seni bina fakulti berkenaan turut dipamerkan pada program itu.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ir Wahid Omar berkata, kerja mencanting batik itu mula dijalankan sejak sebulan lalu dan peserta turut didedahkan dengan bengkel pembelajaran teori serta asas teknik mencanting.

Katanya, program itu bertujuan memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai seni cantingan batik yang merupakan warisan budaya kebanggaan masyarakat Melayu agar tradisi itu terus berkembang.

“Pameran dan program seumpama ini juga dapat menjadi perangsang kepada penuntut untuk menyumbangkan karya bermutu mereka.

“Saya bangga apabila penuntut UTM berminat mencuba menghasilkan batik canting dan percaya mereka adalah antara generasi muda yang akan meneruskan legasi batik canting di negara ini,” katanya.

Sementara itu, penuntut Sarjana Muda Seni Bina, Ho Wen Han, 21, melahirkan rasa teruja selepas berpeluang menghasilkan batik menggunakan teknik cantingan menerusi program tersebut.

“Ini pengalaman pertama saya melukis dan mencanting batik. Saya juga tak sangka berjaya hasilkan batik canting sendiri bermotif bunga-bungaan.

“Walaupun agak sukar tetapi saya rasa amat teruja kerana ini pengalaman baharu saya mempelajari warisan budaya masyarakat lain,” katanya.

Wen Han berkata, dia menyertai program berkenaan secara sukarela bersama rakan sekelasnya, Lee Siew Jing, 21, dan tertarik untuk menyertainya bagi menimba ilmu baharu.

 

Sumber Sinar Harian (13 Mei 2016)