Majlis Pelancaran Program Bangsa Johor Bahagia

Majlis Pelancaran Program Bangsa Johor Bahagia

Program Bangsa Johor Bahagia (BJB), yang diilhamkan DYMM Sultan Johor dan DYMM Permaisuri Johor menunjukkan keprihatinan Baginda berdua dalam membantu meningkatkan kualiti hidup golongan kurang kemampuan di bandar. Baginda Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan DYMM Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah mula membincangkan inisiatif murni ini sejak tahun lalu.

Pada hari ini (17 Mac), majlis pelancaran Program Bangsa Johor Bahagia telah disempurnakan oleh DYMM Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai. Raja Zarith Sofiah bertitah, Program Bangsa Johor Bahagia bukan sahaja dapat mewujudkan sebuah kawasan kediaman yang lestari, malah diyakini mampu membendung masalah sosial dalam kalangan generasi muda, di samping membentuk masyarakat yang pro-aktif. Projek perintis itu dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Sultan Ibrahim Johor, Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor yang berganding bahu bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri serta UTM.

Projek itu dilaksanakan dan disusun mengikut dua fasa bersama penduduk Flat Kangkar Pulai, di mana aktviti bagi fasa pertama telah dilaksanakan pada September dan Oktober 2018, manakala aktiviti fasa kedua sedang dilaksanakan bermula Mac 2019 dan dijangka selesai Mei 2019. Dalam menyokong matlamat dan aspirasi projek perintis Bangsa Johor Bahagia, UTM juga membangunkan empat program iaitu program komuniti berjaya, program fasiliti komuniti sejahtera, program persekitaraan kejiranan lestari dan program komuniti digital beretika.

Majlis Pelancaran Pembinaan Projek Rintis Ruang Kejiranan Program Rejuvenasi Pangsapuri 560 Bandar Bukit Puchong

Majlis Pelancaran Pembinaan Projek Rintis Ruang Kejiranan Program Rejuvenasi Pangsapuri 560 Bandar Bukit Puchong

Majlis Pelancaran Pembinaan Projek Rintis Ruang Kejiranan Program Rejuvenasi Pangsapuri 560 Bandar Bukit Puchong telah dirasmikan oleh YBrs. Puan Noraini Roslan, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya pada 7 Oktober 2018, Ahad bertempat di Flat Bandar Bukit Puchong, Selangor. Program perintis ini merupakan kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya, Institut Sultan Iskandar, dan Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia dalam merejuvenasi perumahan kos rendah di Malaysia. Majlis pelancaran projek ini adalah bertujuan untuk melancarkan projek pilot pembinaan laman edibel dan kerja-kerja menaiktaraf landskap. Program ini telah disertai oleh seramai 40 orang pelajar dari program Ukur Bahan dan Pembinaan di bawah penyeliaan Dr Syamsul Hendra bin Mahmud. Majlis ini telah dihadiri oleh Prof. Dr Mohd Hamdan Ahmad, Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur, Prof Madya Dr Gurupiah Mursib, Ketua Projek Rejuvenasi Flat Bandar Bukit Puchong 560 Puchong, Selangor, Prof. Dr. Syed Ahmad Iskandar Syed Ariffin, Pengarah Eksekutif ISI dan En Thomas Low Yew Sin, Ahli MPSJ.

More photo.. (click here)

10 reka bentuk landskap Sungai Segget

10 reka bentuk landskap Sungai Segget

ISMAIL (tengah) bersama sebahagian pelajar melihat model plan pembangunan Sungai Segget, ketika program lawatan sempena Bengkel Senibina NEON Ke-29 dan Forum Segget Greatest yang dianjurkan UTM, di Johor Bahru. – Foto Mohd Azren Jamaludin (Berita Harian)

JOHOR BAHRU: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menyenaraikan 10 reka bentuk landskap hasil ciptaan universiti tempatan dan luar negara untuk pertimbangan pilihan landskap Projek Pemulihan Sungai Segget di sini.

Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim, berkata reka bentuk terbaik yang menampilkan elemen dinamik dan mampu memenuhi cita rasa masyarakat masa kini akan diterapkan dalam pelan landskap IRDA yang akan dilaksanakan pada fasa ketiga projek berkenaan.

Katanya, IRDA sentiasa mengalu-alukan pandangan awam berhubung landskap dan kerja pengindahan Sungai Segget yang dijangka dimulakan akhir tahun ini.

“IRDA akan bekerjasama dengan pelajar universiti dan masyarakat setempat untuk mengindahkan semula Sungai Segget sebagai hadiah kepada rakyat.

“Ada beberapa elemen unik dihasilkan pelajar yang boleh diterapkan contohnya penggunaan tayar sebagai penahan kerusi dan kayu turbin dijadikan sebagai pelantar,” katanya kepada sidang media selepas mengadakan lawatan di Sungai Segget di sini, hari ini.

Program lawatan itu sempena Bengkel Senibina NEON Ke-29 dan Forum Segget Greatest yang dianjurkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan dihadiri lebih 1,000 pelajar membabitkan 27 universiti seluruh Malaysia serta Indonesia dan Brunei.

Ismail berkata, IRDA akan memuktamadkan pelan reka bentuk lanskap Sungai Segget sebelum akhir tahun ini dan mengadakan beberapa siri hebahan bagi mendapatkan maklum balas orang awam.

“Kita akan mengadakan pameran mengenai reka bentuk landskap Projek Pemulihan Sungai Segget untuk dapatkan pandangan awam sebelum reka bentuk akhir dimuktamadkan.

“Projek ini dalam proses penawaran tender dan kerja lanskap dijangka dimulakan hujung tahun ini,” katanya.

Sungai Segget satu daripada projek di bawah Pelan Transformasi Johor Bahru iaitu program kerjasama di antara IRDA dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi mencapai visi sebuah bandar mampan.

Sementara itu, Naib Pengarah 1 Bengkel Senibina NEON Ke-29, Raynaldi Tamzil, berkata bengkel anjuran Fakulti Alam Bina UTM itu dianjurkan selama enam hari bermula 18 Ogos lalu yang diadakan di sekitar kawasan projek Sungai Segget.

Katanya, aktiviti itu antara langkah bagaimana komuniti masyarakat dapat mengoptimumkan kawasan Sungai Segget sebagai ruang awam untuk aktiviti pengumpulan idea dan pendapat.

Sumber: 10 reka bentuk landskap Sungai Segget | Wilayah | Berita Harian