Program Khemah Ukur Geomatik telah diadakan di Amir Chalet & Fishing Corner, Kg Baharu, Ayer Tawar, Perak dari 25hb Ogos hingga 7hb September 2018. Seramai 82 pelajar beserta 4 staf akademik (Penyelia) dan dibantu oleh 3 Penolong Jurutera (Pembantu Penyelia) daripada Geoinformasi, Fakulti Alam Bina dan Ukur terbabit dalam program ini. Program ini juga adalah merupakan salah satu daripada kursus teras (SGHU2901) yang perlu diambil oleh pelajar yang mengikuti program Sarjana Muda Kejuruteraan (Geomatik). Objektif program ini adalah untuk:

1.      Meningkatkan kefahaman dan keupayaan melaksanakan sesuatu projek berkaitan ukur tanah.

2.      Mempraktiskan semua teknik-teknik ukur yang telah dipelajari.

3.      Pendedahan kepada situasi kerja yang sebenar.

4.      Berdikari dan meningkatkan keyakinan dan ketrampilan diri.

5.      Bekerja sebagai satu kumpulan.

6.      Meningkatkan kemahiran berkomunikasi melalui pembentangan projek dan penulisan laporan.

7.      Memenuhi kriteria bidang profesional selaras dengan kehendak Lembaga Juruukur Tanah Berlesen (LJT).

 

Program ini bertujuan untuk memberi penekanan kepada tiga aktiviti ukur yang utama iaitu: 

a)      Ukur Hidrografi

  • Melibatkan kerjaukur hidrografi menggunakan Global Positioning System (GPS) dan digital echo sounder.
  • Melaksanakan kerja-kerja pengumpulan data di lapangan dan pemprosesan menggunakan perisian terkini. 

b)      Ukur Kawalan GPS

  • Mendedahkan pelajar kepada teknik pengukuran dan pemprosesan data menggunakan peralatan GPS.
  • Mewujudkan titik-titik kawalan yang sesuai dengan kawasan kerja.

c)      Ukur Kejuruteraan dan Butiran

  • Melibatkan aspek kawalan ufuk dan tegak serta pengambilan butiran secara elektronik.
  • Pemprosesan dan penghasilan produk akhir (Pelan Butiran) menggunakan perisian ukur seperti Civil Design & Survey(CDS) dan AutoCAD.

 

Hasil pengukuran perlu dipersembahkan dalam bentuk penulisan dan persembahan yang disemak oleh Penyelia. Perlaksanaan program ini adalah berdasarkan kepada student-centred dan problem based learning. Konsep ini diamalkan bagi memastikan pelajar dapat mempelajari, memahami serta menyelesaikan sesuatu projek berdasarkan kepada kriteria yang diberi.