Pihak Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dengan Fakulti Alam Bina & Ukur (FABU), UTM telah mengadakan satu lagi aktiviti Makmal Satelit untuk  sesi bengkel lock-up pemprosesan data GNSS menggunakan perisian berkejituan tinggi iaitu Bernese 5.2 yang berlangsung di Imperial Hotel, Kuching pada 28 Mac hingga 1 April 2022 lalu.

Bengkel ini dihadiri oleh beberapa pegawai dan staf daripada Pusat Data CORS (PDC) dan divisyen – divisyen JTS Sarawak yang terlibat.

Pihak daripada FABU, UTM diwakili oleh Dr. Wan Anom Wan Aris dan dibantu oleh Prof. Madya Dr. Effendi Daud dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) diikuti beberapa orang pelajar pascasiswazah iaitu En. Muhammad Hanifah Mazlan, Cik Nur Jehan Jaffar dan En. Amir Husni Kamaludin.

Bengkel ini diadakan bagi membantu pihak JTS Sarawak dalam cara kerja pemprosesan data GNSS berkejituan tinggi bagi tujuan penyelenggaraan datum SGeD20 yang merupakan datum semi-dinamik negeri Sarawak.

Bengkel ini dijalankan selama 5 hari bermula 28 Mac sehingga 1 April 2022. Pengisian bengkel selama ini berasaskan 5 modul yang menumpukan 4 fasa dalam pemprosesan data GNSS berkejituan tinggi.

Tiga kumpulan telah dibentuk oleh pihak JTS Sarawak iaitu kumpulan Alpha, Bravo dan Charlie di mana ahli – ahli daripada setiap kumpulan ini digabungkan daripada pegawai dan staf teknikal dari divisyen terlibat. Setiap kumpulan ini bertanggungjawab untuk melaksanakan pemprosesan data GNSS bermula tahun 2020 sehingga 2022 bagi tujuan penyelenggaraan datum SGeD20.

Sepanjang berlangsungnya bengkel, setiap ahli kumpulan didedahkan dengan cara kerja berfasa untuk pemprosesan data GNSS menggunakan perisian Bernese 5.2, bermula daripada semakan kualiti data cerapan GNSS, pra-pemprosesan data GNSS, pemprosesan vektor garis dasar untuk menjana solusi koordinat harian, penghasilan siri masa koordinat harian menggunakan perisian MATLAB dan akhir sekali, anggaran parameter deformasi bagi datum semi-dinamik.

Bengkel ini juga telah memberi pengalaman dan pengetahuan kepada setiap ahli kumpulan peserta dalam tatacara pemprosesan data GNSS yang lebih teratur dan efektif. Pihak JTS Sarawak berharap agar segala input yang telah dikongsikan dapat diaplikasikan oleh pegawai dan staf terlibat dalam pelaksanaan kerja – kerja penyelenggaran datum SGeD20 sebagai sebuah datum semi- dinamik negeri Sarawak.

Disediakan oleh : Prof. Madya Sr Dr. Tajul Ariffin Musa