NPYDA2015

Kredit Gambar: Utusan Malaysia

Pelajar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Kwon Chong muncul sebagai pemenang serantau keseluruhan bagi kategori Seni Bina untuk Anugerah Pereka Muda Nippon Paint (NPYDA) 2015.

Beliau berjaya menewaskan 11 lagi pereka muda yang mewakili negara masing-masing dari seluruh Asia dalam acara peringkat akhir yang sangat mencabar yang berlangsung di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Kwon Chong yang mengetengahkan konsep seni bina ‘Evolving Nature: Eco-learning Market Centre’ berkata, tema yang diberikan amat menarik dan menyedarkannya untuk memberi sumbangan kepada masyarakat melalui konsep rekaan yang ditonjolkan supaya bermanfaat kepada semua masyarakat.

“Saya menggalakkan semua pereka muda supaya lebih bersemangat dalam menerapkan nilai mementingkan insan dan alam sekitar bagi menghasilkan idea untuk melahirkan seni bina sendiri,” katanya.

Seni bina yang dihasilkan beliau berasaskan visi untuk menyumbang sesuatu yang bermanfaat kepada para penduduk dan persekitaran di kawasan Pontian Kechil, sebuah perkampungan nelayan di Johor di mana beliau membesar.

Eco-learning Market Centre rekaan beliau menggunakan elemen kemanusiaan dan interaksi dengan persekitaran ekologi yang mencerminkan sejarah serta menggabungkan konsep seni bina dengan alam sekitar.

Dalam rekaannya itu, dia turut menghasilkan taman rekreasi yang lestari bagi menggalakkan penglibatan masyarakat serta mendidik orang awam tentang budaya kehidupan tradisional di sebuah kampung nelayan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nippon Paint Asia Tenggara, Wee Siew Kim berkata, pereka dan seni perlu membentuk sebuah simbiosis bagi menghasilkan karya yang menggambarkan sebahagian daripada diri mereka sendiri.

“Kejayaan NPYDA terletak pada jalinan rangkaian para veteran industri yang berkongsi semangat yang seiring bersama jenama Nippon Paint dalam menyemai bakat di masa akan datang.

“Pendedahan melalui kerja sebenar dan pelaksanaan sistem mentor akan membuka peluang yang lebih besar untuk kerjaya mereka di masa akan datang, dan inilah visi platform anugerah ini,” jelasnya.

Peserta bukan sahaja bertanding bagi merebut kejuaraan NPYDA tetapi melalui sesi pembelajaran yang diadakan di Universiti Chulalongkorn, Bangkok Thailand, mereka turut terlibat dalam pelbagai aktiviti dan pengisian yang menarik.

Antaranya adalah melalui perkongsian oleh Ar. Paul Tange yang merupakan Presiden Tange Associates dan juga anak kepada arkitek terkemuka dunia, Kenzo Tange yang turut berkongsi pandangan beliau mengenai seni bina dan rekaan.

Beliau turut berkongsi mengenai konsep reka bentuk dan rasional beliau untuk salah satu daripada projek terbaharunya, Pusat Akuatik Tokyo yang bakal digunakan pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Selain itu, Ar. Serina Hijjas yang merupakan tokoh utama dalam bidang seni bina hijau dan pembangunan lestari yang juga merupakan anak kepada arkitek terkenal Malaysia, Hijjas Kasturi turut memberikan ceramah pada majlis tersebut.

Selain daripada sesi perkongsian, para peserta turut menjayakan lawatan sekitar Bangkok ke beberapa buah bangunan ikonik di ibu negara itu, antaranya Istana Negara, Vimanmek Mansion dan Kuil Wat Ratchanatdaram.

NPYDA mula diperkenalkan di Malaysia pada 2008 dengan hanya 87 penyertaan pada awal penganjurannya dan kini menerima lebih 3,000 penyertaan pada tahun lalu.

Pertandingan ini terbuka kepada pelajar jurusan reka bentuk dalaman dan seni bina di 12 buah negara di Asia termasuklah Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia, Vietnam, Hong Kong, China, Jepun, Pakistan, Bangladesh dan Papua New Guinea.

Sumber: Utusan Malaysia

Pelajar Malaysia Juara NPYDA 2015