SKUDAI – Susulan minat mendalamnya terhadap seni ukiran keris ‘Hulu Tajung’, seorang pensyarah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini menjadikan senjata antik itu sebagai subjek utama dalam karya lukisannya.
Pensyarah Fakulti Alam Bina UTM, Dr Fawazul Khair Al Haj Ibrahim berkata, senjata itu semakin dilupakan dan tidak ramai golongan muda pada hari ini menghargai nilai sejarah keris yang menjadi identiti masyarakat Melayu.
“Tidak ramai menghargai budaya warisan keris malah amat sedikit yang mengenali senjata ini yang menjadi senjata utama oleh pemerintah dan pembesar Melayu suatu ketika dahulu.
“Malah tukang yang mahir dalam pembuatan keris juga semakin berkurangan. Warisan ini dikhuatiri semakin pupus dan lenyap sekiranya tiada usaha memartabatkannya semula,” katanya ketika ditemui pada Pameran Lukisan Alumni UTM, di sini.
Katanya, beliau mula tertarik mendalami sejarah pembuatan keris ‘Hulu Tajung’ ketika menjalankan penyelidikan berkenaan keris itu sejak 2009 dan menginterpretasikan keunikan ukiran keris itu pada lukisan sebagai perkongsian kepada orang ramai.
“Saya mempunyai beberapa koleksi keris yang paling kurang bernilai RM5,000 dan telah menjelajah sehingga ke Pattani dan Amsterdame untuk melihat koleksi keris masyarakat Melayu Lama yang disimpan di sana.
“Saya lebih tertarik kepada keris ‘Hulu Tajung’ kerana motif ukirannya yang unik malah keris ini turut digunakan oleh Agong Malaysia sebagai keris rasmi.
“Setiap ukiran yang terdapat pada hulu keris ini mempunyai kisah dan maksudnya tersendiri malah keris ini merupakan ‘kamus bergerak’ kepada pembesar Melayu Lama dan menjadi simbolik kepada si pemilik,” katanya.
Fawazul Khair berkata, beliau turut mengambil pendekatan menggerakkan kempen ‘Satu Keris Satu Rumah’ dengan menghasilkan lukisan bermotif keris bagi memastikan warisan budaya itu tidak terus dilupakan.
“Keris adalah teknologi masyarakat Melayu Lama yang tidak harus dilupakan. Langkah serius perlu diambil bagi memastikan warisan ini terus kekal dan menjadi identiti kebanggaan kita.
“Dalam kebanyakan pameran lukisan, saya lebih cenderung mengetengahkan lukisan bermotif keris sebagai perkongsian bersama masyarakat agar mereka dapat mendalami warisan ini dengan lebih dekat,” katanya.
Katanya, walaupun perlu mengambil masa lama untuk menghasilkan sesebuah lukisan keris yang realistik dan dan mampu meninggalkan kesan mendalam, namun hasilnya memberi kepuasan yang berbaloi kepada beliau.
Sumber: Sinar Harian