ISMAIL (tengah) bersama sebahagian pelajar melihat model plan pembangunan Sungai Segget, ketika program lawatan sempena Bengkel Senibina NEON Ke-29 dan Forum Segget Greatest yang dianjurkan UTM, di Johor Bahru. – Foto Mohd Azren Jamaludin (Berita Harian)

JOHOR BAHRU: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menyenaraikan 10 reka bentuk landskap hasil ciptaan universiti tempatan dan luar negara untuk pertimbangan pilihan landskap Projek Pemulihan Sungai Segget di sini.

Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim, berkata reka bentuk terbaik yang menampilkan elemen dinamik dan mampu memenuhi cita rasa masyarakat masa kini akan diterapkan dalam pelan landskap IRDA yang akan dilaksanakan pada fasa ketiga projek berkenaan.

Katanya, IRDA sentiasa mengalu-alukan pandangan awam berhubung landskap dan kerja pengindahan Sungai Segget yang dijangka dimulakan akhir tahun ini.

“IRDA akan bekerjasama dengan pelajar universiti dan masyarakat setempat untuk mengindahkan semula Sungai Segget sebagai hadiah kepada rakyat.

“Ada beberapa elemen unik dihasilkan pelajar yang boleh diterapkan contohnya penggunaan tayar sebagai penahan kerusi dan kayu turbin dijadikan sebagai pelantar,” katanya kepada sidang media selepas mengadakan lawatan di Sungai Segget di sini, hari ini.

Program lawatan itu sempena Bengkel Senibina NEON Ke-29 dan Forum Segget Greatest yang dianjurkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan dihadiri lebih 1,000 pelajar membabitkan 27 universiti seluruh Malaysia serta Indonesia dan Brunei.

Ismail berkata, IRDA akan memuktamadkan pelan reka bentuk lanskap Sungai Segget sebelum akhir tahun ini dan mengadakan beberapa siri hebahan bagi mendapatkan maklum balas orang awam.

“Kita akan mengadakan pameran mengenai reka bentuk landskap Projek Pemulihan Sungai Segget untuk dapatkan pandangan awam sebelum reka bentuk akhir dimuktamadkan.

“Projek ini dalam proses penawaran tender dan kerja lanskap dijangka dimulakan hujung tahun ini,” katanya.

Sungai Segget satu daripada projek di bawah Pelan Transformasi Johor Bahru iaitu program kerjasama di antara IRDA dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi mencapai visi sebuah bandar mampan.

Sementara itu, Naib Pengarah 1 Bengkel Senibina NEON Ke-29, Raynaldi Tamzil, berkata bengkel anjuran Fakulti Alam Bina UTM itu dianjurkan selama enam hari bermula 18 Ogos lalu yang diadakan di sekitar kawasan projek Sungai Segget.

Katanya, aktiviti itu antara langkah bagaimana komuniti masyarakat dapat mengoptimumkan kawasan Sungai Segget sebagai ruang awam untuk aktiviti pengumpulan idea dan pendapat.

Sumber: 10 reka bentuk landskap Sungai Segget | Wilayah | Berita Harian