Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah (dua dari kanan) diiringi isteri Menteri Besar Johor, Datin Seri Rosni Omar (tiga dari kanan) melihat pelajar mencanting ketika Program Canting di Pusat Konvensyen Fakulti Alam Bina, UTM Skudai. – Kredit Gambar: Berita Harian.

 
JOHOR BAHRU: Empat puluh reka bentuk seni canting batik hasil karya pelajar Sarjana Muda dan Sarjana Kursus Seni Bina dipamerkan buat julung kali di Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, hari ini. Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, yang juga Canselor UTM, berkenan menghadiri pameran batik canting itu bersempena Program Canting di Dewan Konvensyen Fakulti Seni Bina UTM. Kerja mencating batik yang bermula April lalu, memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pembelajaran teori dan asas serta latihan sehingga terhasil produk unik, sekali gus menyemarakkan keunikan khazanah warisan bangsa itu. Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Wahid Omar, berkata penganjuran program itu diharap dapat memartabatkan lagi kedudukan UTM sebagai institusi yang terserlah dengan pelbagai aktiviti kesenian. “Dalam arus pembangunan yang berkembang pesat, tidak wajar warisan budaya seni kita diabaikan. Sehubungan itu, inisiatif ini adalah sesuatu yang amat digalakkan dan harus dipuji,” katanya ketika berucap di majlis itu.
 
Berita Harian: 12 Mei 2016

Sumber : Berita Harian