Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) menyaksikan Naib canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Wahid Omar (tiga dari kiri) bertukar dokumen kerjasama antara Rektor Universitas Mahasaraswati, Denpasar, Indonesia, Dr. I.Made Sukamerta (lima dari kiri) selepas merasmikan merasmikan Persidangan Antarabangsa Kumpulan Penyelidikan dan Perancangan Luar Bandar (RRPG) ketujuh di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai. – Foto NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin

 

JOHOR BAHRU: Draf Pelan Rejuvenasi Desa Johor iaitu inisiatif kerajaan Johor dalam usaha menjadikan luar bandar sebagai aset ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, dijangka siap hujung tahun ini.
 
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata antara skop ditekankan menerusi pelan yang dibangunkan dengan kerjasama Bait Al-Amanah itu ialah mengurangkan jurang antara luar bandar dan bandar serta mengelak penghijrahan masyarakat luar bandar ke bandar.
 
Katanya, antara yang dikaji ialah langkah mengoptimumkan peranan luar bandar dan mencari peluang serta potensi baharu yang boleh dibangunkan masyarakat desa.
 
“Kita tidak boleh mengukur kemajuan berasaskan pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya bagaimana mereka boleh mempunyai kualiti hidup lebih baik seperti penggunaan Wi-Fi di kawasan luar bandar,” katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Kumpulan Penyelidikan dan Perancangan Luar Bandar (RRPG) ketujuh di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, hari ini.
 
Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata, penjawat awam negeri itu tidak digalak bermain Pokemon GO bagi mengelak produktiviti kerja terjejas.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/183435