Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelan tersebut dapat mewujudkan ke­seimbangan dan merapatkan jurang pembangunan di bandar dan desa.

Beliau berkata, pelan yang dibangunkan dengan kerjasama Bait Al-Amanah itu bagi memacu peranan luar bandar dengan mengenal pasti peluang baharu yang boleh diba­ngunkan oleh masyarat desa.

“Kita kena akui kepentingan kawasan luar bandar yang mempu­nyai peluang dan potensi tersendiri. Pelan Rejuvenasi yang akan dilancarkan itu bagi mencari kekuatan baharu di desa untuk dibangunkan.

“Kita tidak mahu mengukur kemajuan di luar bandar dengan pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya mempunyai kualiti hidup yang lebih baik dan dilengkapi kemudahan seperti hospital dan sekolah serta penggunaan WiFi,” katanya .

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Kumpulan Penyeli­dikan dan Perancangan Luar Bandar (RRPG) ke-7 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Mohamed Khaled berkata, penganjuran RRPG oleh Pusat Perancangan dan Pembangunan Inovatif UTM dan Bait Al-Amanah itu diharap dapat melahirkan idea baharu bagi mengoptimumkan fungsi pelan berkenaan.