Pembentukan modal insan terbaik dan mempunyai elemen yang pelbagai amat diperlukan oleh negara bagi mengekalkan momentum pembangunan yang kian pesat dikecapi apatah lagi pada masa negara berusaha mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Bagi lepasan Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Sarjana Kejuruteraan Awam, Abdul Halim Ali Hassan, 44, membentuk seorang penuntut menjadi individu yang berdaya saing dan modal insan seperti yang diperlukan negara bukanlah perkara yang mudah.

Sebaliknya, menurut bekas penuntut UTM itu, segalanya perlu diusahakan secara bersama-sama termasuklah penglibatan golongan alumni. Sebaik berakhirnya pengajian di sesebuah universiti, tidak bermakna hubungan itu terputus begitu sahaja.

Menyedari masih ada ‘ikatan’ yang menyimpul antara dirinya dan UTM, peneraju Perunding UEP Sdn. Bhd., iaitu sebuah syarikat perunding perancang bandar dan wilayah mengambil inisiatif dengan ‘kembali’ ke institusi pengajian tinggi itu sebagai tutor sambilan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan para penuntut.

“Inilah masanya untuk saya membalas budi UTM. Selama lebih kurang sembilan tahun menuntut di UTM semasa mengikuti pengajian di peringkat sarjana muda dan sarjana, banyak yang saya pelajari di sini.

“Saya belajar tentang kehidupan. UTM membentuk saya menjadi seorang insan yang lebih mengenali diri dan menghargai sekeliling, menjaga hubungan dengan alam sekitar, Pencipta dan sesama insan,” katanya yang berpengalaman selama 21 tahun bekerja sebagai perunding perancang bandar dan wilayah.

Bagi Abdul Halim, bukan wang menjadi ukuran semasa memilih menjadi tutor sambilan di UTM, sebaliknya niat membantu penuntut institusi penyelidikan itu menjadi keutamaan beliau.

Bercerita lebih lanjut, Abdul Halim berkata, cabaran para penuntut sekarang amat besar dan berbeza dengan zamannya dahulu.

“Jadi, saya bukan sekadar mengajar penuntut UTM tentang teori, sebaliknya berkongsi pengalaman, terutamanya dalam bidang pekerjaan.

“Saya berkongsi tentang suasana kerja yang sebenar, cabaran dan rintangan yang perlu mereka tempuh dalam alam pekerjaan. Dahulu semasa zaman belajar, saya tiada gambaran tentang alam pekerjaan. Jadi, saya nak kongsi dengan mereka,” katanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata ini mempunyai pengalaman luas dalam kerjaya sebagai perunding perancangan bandar dan wilayah selain diberi kepercayaan menjadi Pengerusi Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) cawangan selatan.

Malah, beliau juga merupakan seorang perunding Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang berdaftar dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta bergiat aktif dalam beberapa pertubuhan melibatkan perancang bandar dan wilayah serta alam sekitar.

Bukan hanya memilih jalan menjadi tutor sambilan, Abdul Halim sering diundang untuk menjadi penceramah jemputan di Fakulti Alam Bina, UTM.

“Ini cara saya berbakti kepada UTM. Saya nak bersama-sama dengan UTM dalam membangunkan lebih banyak modal insan yang berinovasi dan berkemahiran, sekali gus membantu dalam menjayakan aspirasi negara,” katanya dengan penuh semangat.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru alumni universiti tersebut supaya tidak melupakan sumbangan yang telah diberikan oleh UTM dalam mencorak kehidupan mereka sekarang.

Beliau menyeru alumni supaya kembali ke UTM untuk bersama-sama kepimpinan universiti membangunkan mahasiswa agar graduan yang bakal dilahirkan berupaya membawa nama baik UTM ke persada antarabangsa.

“Hubungan antara alumni seharusnya dapat dieratkan lagi agar pelbagai idea demi pembangunan dan kecemerlangan UTM dapat dijana, sekali gus membantu meletakkan UTM di puncak kejayaan dan persada dunia,” katanya.