JOHOR BAHRU 12 Mei – Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah ber­kenan merasmikan program Canting anjuran Fakulti Alam Seni Bina, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, dekat sini hari ini.

Raja Zarith Sofiah yang juga Canselor UTM diiringi isteri Menteri Besar, Datin Seri Rosni Omar.

Sebanyak 40 hasil seni canting dihasilkan oleh 55 penuntut yang mengikuti ijazah sarjana muda dan sarjana fakulti berkenaan telah dipamerkan menerusi program itu.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ir. Wahid Omar berkata, kerja-kerja mencanting batik tersebut telah mula dilakukan sejak sebulan lalu dan peserta turut didedahkan dengan bengkel pembelajaran teori serta asas-asas teknik mencanting.

Beliau berkata, program diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada generasi muda tentang seni canting batik yang merupakan warisan budaya kebanggaan masyarakat Melayu sekali gus bagi memastikan tradisi terbabit terus berkembang.

“Pameran dan program seumpama ini juga dapat menjadi perangsang kepada penuntut untuk menyumbangkan karya bermutu mereka.

“Saya berasa bangga apabila penuntut UTM berminat menghasilkan batik canting dan percaya mereka adalah antara generasi muda yang akan meneruskan legasi batik canting di negara ini,” kata­nya.

Sementara itu, seorang peserta, Ho Wen Han, 21, mengakui teruja apabila berpeluang menghasilkan batik menggunakan teknik cantingan dalam program tersebut.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya melukis dan membuat cantingan batik. Saya tidak sangka berjaya menghasilkan batik canting bermotif bunga-bungaan.

“Walaupun agak sukar, tetapi ini pengalaman baharu saya mempelajari warisan dan budaya masyarakat kaum lain,” kata penuntut ijazah sarjana muda senibina ini.

Menurut Wen Han lagi, dia me­­­­­nyertai program berkenaan bersama-sama rakan sekuliah, Lee Siew Jing, 21, bagi menghayati sendiri pengalaman menarik seumpama itu

 SumberUtusan Malaysia (13 Mei 2016)