Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pada masa kini reka bentuk dan seni bina masjid di negeri ini adalah pelbagai dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Fakulti Alam Bina diharap dapat memberi cadangan reka bentuk yang bersesuaian.

“Masjid Sultan Abu Bakar di bandar raya ini boleh dijadikan contoh, dan mungkin suatu kajian perlu dilakukan bagi mengemukakan cadangan baru.

“Selain masjid, dewan raya dan balai raya juga boleh dijadikan identiti kerana sebelum ini ia hanya ditonjolkan menerusi pemakaian seperti baju teluk belanga,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Besar Bandar Seri Alam, di sini hari ini.

Masjid Besar Bandar Seri Alam yang dijangka siap pada awal tahun depan membabitkan kos pembinaan sejumlah RM9juta. Ia dijangka mampu menampung kira-kira 1,800 jemaah pada suatu masa.

 Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata, buat masa ini terdapat 24 masjid baru dalam pembinaan dan kerajaan negeri menyasarkan 80 masjid baharu dalam tempoh 14 hingga 18 bulan mulai sekarang.

Menurutnya, kos keseluruhan bagi pembinaan kemudahan berke-naan adalah RM164juta dengan 75 peratus pembiayaan kerajaan pusat dan bakinya oleh kerajaan negeri.

“Pembinaan masjid baru ini mampu menampung keperluan umat Islam bagi menunaikan ibadah solat dan mengadakan aktiviti keagamaan,” katanya.