JOHOR BAHRU, 24 September 2026 – Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus melakar kecemerlangan apabila dinobatkan sebagai Pemenang Tempat Pertama (4 Green Leaf) Anugerah Kelestarian UTM 2025 bagi Kategori Fakulti/Sekolah sempena Majlis Citra Karisma 2026. Kejayaan ini menyaksikan FABU membawa pulang piala pusingan, sijil penghargaan dan hadiah wang tunai, sekali gus mengembalikan kejuaraan Anugerah Kelestarian UTM kepada FABU setelah gelaran tersebut menjadi milik fakulti lain pada edisi sebelumnya.
Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan FABU dalam membudayakan kelestarian melalui pendekatan yang menyeluruh, merangkumi pengurusan fakulti secara lestari, penyelidikan berimpak, penglibatan staf dan pelajar bagi menjayakan SDG di dalam dan diluar nega serta pemerkasaan komuniti dalam peningkatan kesedaran dan kecekapan serta tindakan.
Pencapaian ini juga meneruskan rekod konsisten FABU dalam agenda kelestarian UTM. FABU telah menerima pengiktirafan Green Leaf/Anugerah Kelestarian bagi tahun 2018, 2020, 2021, 2022, 2023 dan 2024, termasuk pencapaian 5-Green Leaf secara berturut-turut dari tahun 2021 hingga 2023.
Kejayaan ini merupakan hasil komitmen bersama seluruh warga FABU, barisan pengurusan, Jawatankuasa Lestari FABU, staf akademik dan pentadbiran, pelajar serta rakan strategik yang sentiasa menyokong aspirasi kelestarian fakulti.
Tahniah kepada seluruh warga FABU!
Dengan komitmen dan usaha berterusan seluruh warga fakulti, FABU beriltizam untuk mencapai pengiktirafan 5-Green Leaf pada tahun hadapan.
“Kelestarian bukan sekadar pencapaian, tetapi budaya yang terus kita bina bersama.”
