JOHOR BAHRU, 26 Oktober 2018 – Seramai 21 orang peserta dari Universitas Sebelas Maret (UNS), Surakarta, Indonesia (18 pelajar dan 3 orang pensyarah pengiring) telah menyertai program UTM Summer School – Built Environment Experiences 2018 yang berlangsung dari 21 hingga 26 Oktober 2018 lalu. Program UTM Summer School anjuran Perancangan Bandar dan Wilayah (PBW), Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM (FABU) merupakan penyertaan kali ke-2 oleh pihak UNS. Penyertaan pihak UNS kali ini telah disambut sendiri oleh Pengarah Program PBW, Prof. Madya TPr. Dr. Hairul Nizam Ismail mewakili Dekan FABU.

Matlamat utama program ini adalah untuk memperkenalkan dan berkongsi pengalaman kepada para peserta berkaitan konsep ‘Sustainable Creative City’ yang diterapkan khususnya di sekitar pembangunan wilayah Iskandar Malaysia, Bandaraya Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Para hari pertama, perserta telah berpeluang mendengar perkongsian kuliah di Dewan Konvesyen, FABU melibatkan pakar rujuk UTM dan UNS. Turut serta para pelajar dari Tahun 1 Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah UTM (SMPBW). Ahli panel jemputan UTM yang terlibat adalah Pensyarah Kanan PBW iaitu En. Chau Loon Wai dan Prof. Madya TPr. Dr. Foziah Johar manakala pihak UNS diwakili oleh Dr. Winny Astuti dan Dr. Muhammad  Hisjam. Para peserta kemudian turut dibawa melawat kemudahan dan pusat penyelidikan yang terdapat di sekitar Fakulti oleh Persatuan Mahasiswa Perancangan Bandar dan Wilayah UTM (PEWIBAWA).

Pada hari kedua, sempena lawatan peserta ke Pusat Bandaraya Johor Bahru, sebuah sesi taklimat diaturkan bersama pihak Thinkcity Sdn. Bhd. (Johor Bahru) di pejabat mereka. Pihak Thinkcity yang banyak terlibat dalam projek pemeliharaan bangunan warisan dan rejuvenasi ruang awam di sekitar pusat bandar turut membawa peserta menyelusuri jejak warisan di sekitar pusat bandar. Turut serta, Pengarah Program UTM Summer School, Dr. Noor Aimran Samsudin yang turut berkongsi sejarah perkembangan bandar tersebut di lapangan. Selain itu, pihak Yayasan Warisan Johor (YWJ) turut berbesar hati menerima kunjungan delegasi ke Kompleks YWJ yang menempatkan pelbagai koleksi seni warisan,sejarah dan budaya Johor. Taklimat telah disampaikan sendiri oleh Ketua Unit Korporat, Tuan Haji Shafie Ahmad kepada delegasi UNS dan UTM. Para peserta telah berpeluang melawat Galeri Tenun dan Galeri Seni melihat koleksi yang dipamerkan.

Pada hari berikutnya, para peserta telah dibawa melihat kemodenan pusat pentadbiran Negeri Johor iaitu Kota Iskandar dan pembangunan sekitar Iskandar Puteri seperti Puteri Harbour, Medini dan Taman Tema Legoland. Sebelum peserta menikmati jamuan makan malam di sebuah restoran nelayan di Kampung Pendas, Gelang Patah, mereka telah dibawa melawat projek mega Forest City yang dibangunkan oleh Country Garden Pacificview. Taklimat telah disampaikan sendiri oleh Encik Ahmad Faizul Noor Azizan, Senior Strategic Executive.

Lawatan di sekitar Kuala Lumpur, peserta telah berpeluang melawat kawasan bersejarah Masjid Jamek, Dataran Merdeka, KL City Gallery dan Pasar Seni selain ke pusat membeli belah utama iaitu Bukit Bintang dan Menara Berkembar Petronas. Secara umum penyertaan program kali ini telah memberi peluang kepada peserta melihat pembangunan Malaysia dari pelbagai perspektif dengan melawat pelbagai bandar di negara ini.

More photo (click here)