Seramai 51 orang mahasiswa dari Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina yang mengambil kursus kokurikulum UKQR2062 telah menganjurkan Program Komuniti Lestari 2017 pada 27 – 29 April 2017 di FELDA Ulu Penggeli, Keluang, Johor. FELDA Ulu Penggeli terpilih sebagai lokasi pelaksanaan Program Komuniti Lestari 2017 kerana mereka telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Keceriaan Kampung FELDA (AKKF) peringkat kebangsaan pada tahun 2016.

Program ini dilaksanakan dengan objektif utama untuk menggalakkan mahasiswa berinteraksi dengan masyarakat serta menyalurkan ilmu dan kemahiran yang diperolehi sepanjang pengajian di universiti dalam bidang perancangan bandar dan wilayah agar dapat membantu meningkatkan tahap kelestarian FELDA Ulu Penggeli ke peringkat yang lebih tinggi.

Program yang telah berlangsung selama 3 hari 2 malam  mengandungi beberapa aktiviti interaktif yang melibatkan penduduk setempat bersama mahasiswa antaranya ialah Bengkel Pelan Komprehensif Pembangunan Komuniti (PKPK) FELDA Ulu Penggeli 2025 (Pembangunan Pelancongan), Pengindahan Landskap dan Susunatur Galeri FELDA Ulu Penggeli, Program School Attack di Sek. Keb. Ulu Penggeli, Senamrobik dan Malam Silaturahim.

Program ini dianggap telah mencapai objektif apabila mendapat kerjasama yang baik dari pihak pengurusan FELDA Ulu Penggeli yang diketuai oleh En. Md. Jaffar Mohd. Noah, barisan kepimpinan JKKR, GPW dan penyertaan 17 keluarga sebagai keluarga angkat. Kerjasama yang baik juga diterima daripada pensyarah Fakulti Alam Bina, Prof. Ibrahim Ngah dan Dr. Mohd. Hisyam sebagai pakar rujuk bagi Program PKPK dan pengindahan galeri.

Justeru itu, selaku Pensyarah Penasihat, Dr. Siti Hajar Misnan dan Pengarah Program, Cik Amirah Huda Azlan, kami menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan Program Komuniti Lestari 2016 di FELDA Ulu Penggeli.