Badan Kebajikan Staf Fakulti Alam Bina dan Ukur (AKRAB) telah menganjurkan program Kembara Warisan Alam Bina @ Pantai Timur yang telah diadakan pada 15 September 2020 hingga 19 September 2020. Program ini telah melibatkan pelbagai lokasi di Cameron Highland, sebilangan daerah di negeri Kelantan dan Terengganu. Seramai 33 orang peserta terdiri daripada staf, pesara staf dan juga keluarga staf telah menyertai program ini. Program Kembara Warisan Alam Bina @ Pantai Timur adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada warga fakulti dalam mengenali warisan dan budaya penduduk pantai timur.
Beberapa tempat menarik telah dilawati di Cameron Highland seperti kebun teh di Cameron Valley, Kampung Taman Sedia, Kea Farm, MARDI dan Lavender Garden. Sementara di negeri Kelantan pula, rombongan telah melawat beberapa buah kawasan yang mempunyai sejarah tersendiri seperti Masjid Razaleigh yang menyerupai model Masjidil Haram di Makkah, Pasar Siti Khadijah, Wakaf Che Yeh, Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra (Masjid Beijing) di Rantau Panjang dan Cerana Villa Floating Market di Pengkalan Datu. Di Terengganu pula, rombongan telah mengunjungi Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Masjid Kristal dan beberapa buah gerai yang menjual keropok losong.
Program yang berlangsung selama 5 hari 4 malam ini telah menjadi salah satu aktiviti yang berjaya membina jaringan ukhuwah yang lebih kuat antara staf dan memperluaskan lagi pengetahuan tentang kebudayaan negeri-negeri pantai timur.