Program Malaysia Heritage Walks and Town Trails-Summer School anjuran Fakulti Alam Bina di bawah penyeliaan Prof. Dr. Syed Zainol Abidin Idid bersama UTM SPACE berlangsung pada 15 sehingga 21 Oktober 2012. Summer School pada kali ini disertai oleh 20 pelajar dari The National University of Civil Engineering (NUCE), Hanoi, Vietnam seramai 11orang manakala pelajar dari Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina (FAB), Universiti Teknologi Malaysia seramai sembilan (9) orang. Dua orang pensyarah daripada NUCE iaitu Dr. Nguyen Cao Lan dan Dr. Nguyen Quang Minh juga turut serta.

Majlis perasmian dan pelancaran Malaysian Heritage Walks and Town Trails-Summer School telah berlangsung pada 15 Oktober 2012 di Bilik Seminar, FAB. Ucapan perasmian telah disampaikan oleh Prof. Sr. Ahmad Rosdan Bin Abdul Razak bagi mewakili Prof. Dr. Ahmad Nazri Muhamad Ludin (Dekan FAB). Prof. Dr. Ahmad Nazri Muhamad Ludin mengadakan perjumpaan bersama pensyarah NUCE di Pejabat Dekan bagi mengucapkan selamat datang serta sesi penyampaian cenderamata.

Sepanjang program ini, para peserta akan dibawa melawat pelbagai tempat warisan sekitar Malaysia meliputi kawasan Johor Bahru, Melaka Bandaraya Warisan Dunia, Putrajaya dan Kuala Lumpur. Para peserta didedahkan dengan pelbagai elemen reka bentuk Bandar (urban design) melalui penganjuran bengkel, kajian tapak (site inventory), pemerhatian tapak (site observation), pelan konsep (concept plan), reka bentuk susun atur (design  layout) dan penyediaan garis panduan melalui beberapa siri kuliah di tapak kajian. Dua siri kuliah iaitu Observation, Opinion and Intuitionthe Fundamentals of Design oleh Prof. Dr. Syed Zainol Abidin Idid (UTM) dan Architectural Appreciation oleh Dr. Minh (NUCE) telah disampaikan kepada para peserta bagi meningkatkan pemahaman dan penghayatan mengenai pemeliharaan bandar warisan. Para peserta Summer School dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil melibatkan para peserta Malaysia dan Vietnam.

Secara tidak langsung penganjuran Malaysian Heritage Walks and Town Trails-Summer School yang telah memasuki tahun ke-3 ini dapat mendedahkan para peserta terhadap kepelbagaian warisan budaya di peringkat antarabangsa. Diharapkan pengajuran Malaysian Heritage Walks and Town Trails-Summer School pada tahun 2012 ini dapat meningkatkan lagi kerjasama antara The National University of Civil Engineering (NUCE), Hanoi, Vietnam dan FAB, UTM khususnya. Pihak penganjur juga merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak UTM SPACE atas penajaan.

//