Pihak Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah program Sarjana Muda Sains (Geoinformatik), bersama Kelab Geoinformatik telah menjayakan program “GIS WebTalk Siri 2”, yang dilaksanakan secara dalam talian.

Program ini bertujuan untuk mendedahkan pelajar berkaitan penggunaan Sains Maklumat Geografi, GIS di agensi-agensi luar serta untuk meningkatkan kebolehpasaran pelajar dengan melihat aspek dan isu bagi pelaksanaan GIS.

Pada sesi GIS WebTalk Siri 2 kali ini, penceramah yang memberikan input ialah Saudara Sr. Gs. Nik Mohd Fadhil Nik Mohd Kamil, Ketua Pasukan bagi unit GIS Mapping and Analysis di Projek GIS, Bahagian Pembahagian, Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Tajuk perkongsian ialah “Electrifying GIS for Tenaga Nasional Berhad”. TNB merupakan syarikat utiliti (elektrik) terbesar di Malaysia dan merupakan salah satu yang terbesar di rantau Asia serta telah beroperasi lebih daripada 70 tahun.

Program GIS WebTalk Siri 2 ini telah dihadiri oleh lebih kurang 100 peserta, daripada pelajar-pelajar Sarjana Muda Sains (Geoinformatik).

Selain pelajar sarjana muda, terdapat juga penyertaan daripada pelajar-pelajar pra-siswazah daripada program lain, selain pelajar-pelajar pasca-ijazah, serta terdapat juga peserta daripada pihak industri.

Dalam program ini, pihak TNB telah berkongsi berkenaan penggunaan GIS di TNB, terutama di Bahagian Pembahagian, di mana GIS telah membantu menambahbaik pengurusan asset dan rangkaian melalui pembangunan serta penggunaan aplikasi GIS seperti memudahkan pengumpulan data dan mengemaskini maklumat di lapangan.

Melalui GIS juga telah banyak membantu TNB dalam kerja-kerja operasi seperti mengurangkan masa bagi kerja-kerja gangguan bekalan elektrik.

Diharapkan program ini akan membuka minda dan peluang terutama kepada para pelajar dalam memahami penggunaan aplikasi GIS di dunia sebenar. Selain itu,  program ini dapat meningkatkan hubungan kerjasama antara pihak UTM dan juga pihak TNB khususnya.

Sebahagian peserta GIS WebTalk Siri 2
Sesi perkongsian TNB dalam GIS WebTalk Siri 2
Sesi bergambar maya peserta dan penceramah GIS WebTalk Siri 2

Disediakan oleh: Mohammad Zakri bin Tarmidi