The 13th Joint Workshop on Urban Design and Conservation 2018

The 13th Joint Workshop on Urban Design and Conservation 2018

LAPORAN AKTIVITI
THE 13th JOINT WORKSHOP ON URBAN DESIGN & CONSERVATION 2018
Anjuran
Faculty of Architecture, Urban Design and Creative Arts, Mahasarakham University (MSU), Thailand
Anjuran bersama
Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) & Faculty of Architecture and Design, Rajamangala University of Technology (RMUTT), Thailand

PHUKET,THAILAND 8 April 2018 – Seramai 15 orang peserta UTM yang terdiri dari mahasiswa program Perancangan Bandar dan Wilayah (13 orang) dan Senibina Landskap, Fakulti Alam Bina UTM (1 orang) dan seorang pensyarah pengiring telah menyertai bengkel antarabangsa The 13th Joint Workshop on Urban Design & Conservation 2018 di sekitar Bangkok dan Phuket, Thailand pada 1 hingga 8 April 2018 lalu.

Edisi kali ke-13 ini telah dianjurkan dengan jayanya oleh Faculty of Architecture, Urban Design and Creative Arts, Mahasarakham University (MSU), Thailand selaku tuan rumah manakala Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Rajamangala University of Technology (RMUTT), Thailand selaku penganjur bersama. Delegasi UTM telah disambut kehadirannya ke Thailand oleh Dr. Nattakrist Supakornpinnnthakoopt, Dean of Faculty of Architecture and Design, RMUTT. Bengkel kali ini telah berjaya mengumpulkan sehingga 46 orang peserta secara keseluruhannya yang terdiri mahasiswa dari pelbagai program pengajian seperti perancangan bandar, senibina, landskap, rekabentuk bandar, pereka hiasan dalaman dan seni kreatif.

Delegasi UTM diketuai oleh Dr. Noor Aimran Samsudin, Pensyarah Kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah UTM selaku program koordinator dan fasilitator dari Malaysia. Matlamat utama program ini adalah untuk mendedahkan dan memberi kesedaran akan kepentingan pemeliharaan kepelbagaian warisan budaya di rantau ini khususnya dalam konteks alam bina seperti perancangan bandar, senibina, landskap dan sebagainya. Pengenalan kepada sejarah budaya Thailand dikongsikan di sekitar Bangkok melalui siri jejak warisan ke pelbagai tempat bersejarah dan muzium tempatan. Manakala bengkel program diadakan di pulau peranginan antarabangsa terkenal iaitu di Phuket selama 5 hari bermula 3 hingga 8 April 2018.

Kewujudan deretan rumah kedai tradisional dengan gaya seni bina sino-eropah yang didiami oleh masyarakat Baba Nyonya atau Peranakan di Phuket menonjolkan hubungan sejarah yang rapat dengan Malaysia khususnya Pulau Pinang dan Melaka selain Singapura. Bermula zaman pemerintahan kolonial British di Negeri-negeri Selat (Straits Settlements), ramai penduduk telah berhijrah ke Phuket membentuk komuniti tersendiri sewaktu kegemilangan pengeluaran bijih timah. Selepas kemerosotan pengeluarannya hasil galian tersebut, Phuket mula mempromosikan keindahan alam semulajadi sedia ada sebagai suatu produk pelancongan sehingga dikenali ke peringkat antarabangsa pada hari ini. Keseimbangan antara memastikan kelangsungan warisan budaya tempatan dan pengurusan industri pelancongan yang mampan telah menjadi cabaran utama penduduk dan kerajaan tempatan.

Keunikan dan kepelbagaian landskap budaya masyarakat tempatan ini menjadi tumpuan utama para peserta bengkel kali ini. Dengan kerjasama pihak Phuket City Municipality, peserta telah diberikan taklimat oleh Datuk Bandar Phuket, Somjai Suwansupana berkenaan sejarah setempat dan peranan pihak berkuasa tempatan. Menurut Datuk Bandar Phuket, pihak Phuket City Municipality sedang mengusahakan garis panduan khusus berkaitan pemeliharaan warisan rupabandar pusat bandar Phuket khususnya bangunan rumah kedai tradisional. Selain itu, taklimat dan perkongsian mengenai sejarah tempatan turut disampaikan oleh wakil NGO tempatan, pegawai Museum Siam dan beberapa pensyarah tempatan dari Prince of Songkla University (PSU), kampus Phuket. Peserta turut berpeluang melawat tempat menarik di sekitar Phuket seperti di Patong Beach yang menjadi tumpuan pelancong antarabangsa.  

Hasil kajian dan cadangan ringkas para peserta mengenai kepentingan pengurusan pelancongan dan pemeliharaan warisan rupabandar yang mampan telah dibentangkan oleh peserta di Phuket City Municipality Learning Center. Penyertaan aktiviti pengantarabangsaan seperti bengkel ini dapat memberi peluang kepada mahasiswa UTM untuk meneroka potensi diri bersama rakan-rakan antarabangsa lain, meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis dan inovasi selain membina keyakinan diri.

Hari Pertama, Ahad (1 April 2018): Bertolak ke Bangkok, Thailand

Sekitar ketibaan para peserta UTM di Bangkok disambut oleh para peserta lain.

 

Pada hari pertama, para peserta telah bertolak dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke Kuala Lumpur International Airport 2 (KLIA2) untuk berlepas ke Bangkok, Thailand. Para peserta terdiri daripada 14 orang pelajar dan seorang pensyarah pengiring telah berlepas ke Bangkok pada jam 5.00 petang dan tiba di Don Mueng International Airport (DMK), Bangkok pada jam 7.00 petang. Para peserta telah disambut oleh dekan daripada Faculty of Architecture Rajamangala University Technology Thanyaburi (RMUTT). Selepas itu semua peserta telah dibawa ke tempat penginapan iaitu Lub D Hostel, Silom, Bangkok untuk berehat dan diberikan taklimat program yang akan berlangsung selama lapan hari iaitu tiga hari di Bangkok dan lima hari di Phuket. Para peserta juga tidak ketinggalan untuk berkenalan dengan peserta dari universiti lain iaitu Mahasarakam Universiti (MSU) dan Rajamangala University Technology Thanyaburi (RMUTT). Keseluruhan peserta yang terlibat dalam program ini ialah seramai 40 orang yang terdiri daripada pelajar dan pesyarah pengiring.

Hari ke-2, Isnin (2 April 2018): Menghayati keunikan warisan senibina dan budaya Thailand di sekitar Bangkok.

Sebahagian tempat menarik yang dilawati sepanjang jejak warisan di Bangkok.

 

Pada sebelah pagi, peserta telah dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk melihat dan meneroka warisan budaya tempatan. Peserta dikehendaki untuk melihat elemen warisan tidak ketara (intangible heritage) dan warisan ketara (tangible heritage) sepanjang pengembaraan mereka menyelusuri laluan yang telah dicadangkan. Setiap laluan jejak warisan dipandu oleh pelajar tempatan dan setiap kumpulan perlu mencuba pelabagai jenis perkhidmatan pengangkutan awam di sekitar Bandaraya Bangkok seperti menaiki BTS dari hentian Chong Nonsi ke Saphan Taksin. Di Sekitar Silom Plaza, peserta berpeluang melihat deretan dan melawati rumah kedai tradisional yang masih terpelihara. Seterusnya, di situ juga terdapat Bangkrak bazar yang menghidupkan persekitaran bandar dimana penjual-penjual terdiri dari warga tempatan menjual barangan mereka di tepi jalan. Lawatan diteruskan ke Mandarin Oriental yang mempunyai elemen-elemen reka bentuk bandar yang boleh dijadikan contoh di Malaysia. Seterusnya, peserta di bawa menaiki bot di Chao Phraya River menyelusuri sungai melihat latar langit pusat Bandaraya Bangkok dari sudut perspektif berbeza. Peserta juga di bawa ke Wat Suwan dan Wang Lang Market dan berpeluang membeli barang-barang dengan harga yang sangat berpatutan. Peserta juga dapat menikmati makanan di sana iaitu di Wang Lang Restaurant. Selepas makan dan berehat sebentar, peserta meneruskan perjalanan ke Tha Chang menaiki pengangkutan awam yang lain iaitu Tuk Tuk. Di tempat tersebut, peserta dapat merasai sense of old place. Perjalanan seterusnya, peserta dibawa ke Tha Maharaj untuk mengunjungi Wat Suthat dan Giant Swing yang sangat terkenal pada zaman dahulu. Giant Swing juga dijadikan sebagai ikon di kawasan tersebut. Seterusnya, peserta menaiki Tuk Tuk untuk ke Grand Palace yang  merupakan kawasan tumpuan utama para pelancong. Grand Palace adalah bekas kediaman untuk Raja Rama I ke Raja Rama V dari zaman Kerajaan Rattanakosin. Hari ini, tempat itu digunakan untuk menganjurkan majlis-majlis diraja dan mengalu-alukan tetamu diraja. Akhir sekali, kesemua peserta berkumpul di Santichaiprakarn Park. Di situ kami berkongsi pengalaman antara satu sama lain mengenai perjalanan kami sepanjang menerokai Bandar Bangkok.

Hari Ke-3, Selasa (3 April 2018): Melawat Rattanakosin Exhibition Hall sebelum bertolak ke  Phuket

Lawatan di Rattanakosin Exhibition Hall, Bangkok

 

Pada hari ketiga program ini, peserta telah dibawa untuk mengenali dengan lebih mendalam sejarah Thailand di Rattanakosin Exhibition Hall. Para peserta telah dipecahkan kepada dua kumpulan berasingan untuk lawatan berpandu dan peserta diberikan alat bantu dengar untuk mendengar penerangan dalam bahasa Inggeris melalui saluran frekuensi yang dipancarkan dan dapat didengari dengan alat bantu dengar yang diberi. Di dewan pameran ini, terdapat banyak khazanah dan juga diorama yang mengambarkan secara terperinci budaya, kesenian, senibina Thailand dari zaman penubuhan Kota Bangkok di Pulau Rattanakosin pada abad ke-18 hingga ke hari ini. Dewan pameran ini juga mempunyai kemudahan perpustakaan di tingkat atas yang selesa dan berhawa dingin serta penuh dengan bahan bacaan mengenai budaya masyarakat dan sejarah negara Thailand. Lawatan berpandu di dewan pameran ini tamat pada pukul 2 petang.

Seterusnya, para peserta bergerak ke Lapangan Terbang Don Mueng untuk menaiki pesawat ke Phuket. Terdapat beberapa penerbangan berbeza bagi peserta kerana tiket dibeli secara berkumpulan dan bertolak paling awal pada pukul 5 petang dan yang terakhir 7.30 petang. Kesemua peserta dan pensyarah pengiring selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket dan bergerak ke Hotel B2 dengan menaiki bas pada pukul 8 malam. Sebelum dibenarkan untuk beristirehat di bilik masing-masing, para peserta diberikan taklimat oleh pensyarah di lobi hotel mengenai perjalanan keesokan harinya.

Sebahagian pameran model dan lukisan yang terdapat di Rattanakosin Exhibition Hall, Bangkok

 

Hari Ke-4, Rabu (4 April 2018): Bandar Phuket

Lawatan ke Old Town Phuket dan Patong Beach

 

Pada hari pertama di Phuket, para peserta dibawa membuat lawatan ke kawasan kajian iaitu Old Town Phuket yang bersejarah. Lawatan dimulakan dengan melawat Muzium Thai Hua yang asalnya merupakan sebuah bangunan sekolah. Di muzium berkenaan terdapat banyak maklumat berkaitan sejarah awal perkembangan Phuket dan juga sejarah kewujudan serta sumbangan komuniti Baba dan Nyonya. Menariknya, komuniti Baba dan Nyonya di Phuket mempunyai hubungan sejarah yang rapat dengan komuniti sama di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Mereka dipercayai telah berhijrah ke Phuket sewaktu zaman pemerintahan kolonial British di Negeri-negeri Selat. Pada zaman tersebut Phuket terkenal  sebagai pusat pengeluaran bijih timah setelah kemerosotan bahan galian sama di Tanah Melayu.

Para peserta juga diterangkan mengenai gaya seni bina bangunan di Bandar Phuket yang dikenali sebagai Sino-Portuguese (Sino-European). Selesai lawatan awal tersebut, peserta dibawa melawat ke Pantai Patong yang menjadi tarikan utama Phuket. Kawasan ini dipenuhi dengan para pelancong antarabangsa yang ingin menikmati keindahan pantai Phuket. Tujuan ke Pantai Patong adalah untuk melihat perbezaan di antara Old Town Phuket dan kawasan peranginan antarabangsa. Pantai Patong juga antara kawasan yang terlibat dengan bencana tsunami yang meragut banyak nyawa pada tahun 2006. Setelah beberapa tahun, kawasan tersebut telah kembali pulih dan berkembang pesat sehingga sekarang. Setelah selesai melawat Old Town Phuket dan Pantai Patong, para peserta pulang ke hotel untuk sesi pembahagian kumpulan dan juga sesi bertukar pandangan dan maklumat daripada lawatan tersebut.

 Hari Ke-5 (5 April 2018): Lawatan dan taklimat oleh Phuket City Municipality

Peserta mengambil gambar kenang-kenangan bersama wakil NGO tempatan yang membawa menyelusuri jejak warisan di Old Town Phuket.

 

Pada hari Ke-5 di Phuket, Thailand para peserta diberi kesempatan untuk mendengar taklimat mengenai jejak warisan yang dikongsi oleh wakil masyarakat tempatan iaitu di Bangunan Chartered Bank.  Perkongsian maklumat adalah lebih tertumpu kepada sejarah pembangunan di Phuket, kewujudan keturunan Peranankan (Baba Nyonya), sejarah Negara China-India yang menjadikan Phuket sebagai pelabuhan Entreport, gaya seni bina yang berasaskan Sino-Eropah dan kebudayaan dari segi pemakaian serta makanan tradisi masyarakat tempatan Phuket. Para peserta juga diberi peluang melihat sendiri bagaimana proses-proses pemeliharaan bangunan rumah kedai tradisional sedang dijalankan oleh salah seorang pemilik bangunan dengan menggunakan pendekatan penyesuaigunaan.

Misalnya, setiap rumah kedai mempunyai countyard untuk membolehkan pengaliran udara ke dalam rumah berlaku. Tambahan lagi, pemeliharaan rumah kedai yang mempunyai seni bina yang berasaskan Sino-Eropah memerlukan kepakaran atau orang yang professional dalam mengendalikan tugas-tugas pembaikan semula struktur atau mengindahkan semula bangunan lama tersebut. Pada sebelah petang pula, para peserta telah di bawa melawat Phuket Town Municipality Office. Tujuan utama melawat pejabat tersebut adalah untuk mendengar taklimat bagi mendapatkan maklumat mengenai daerah Phuket oleh Datuk Bandar Phuket sendiri iaitu Somjai Suwansupana dan telah berlangsung selama satu jam. Dalam taklimat tersebut, beliau telah memberikan maklumat berkaitan demografi yang terdiri daripada bangsa, populasi dan agama yang terdapat di Phuket.

Berdasarkan takllimat tersebut, majoriti penduduk di Phuket ialah beragama Buddha selain terdapat juga komuniti Muslim yang berasal dari Selatan Thailand. Terdapat juga makanan yang menjadi tumpuan pelancong apabila melawat ke Phuket antaranya ialah A-pong, Curry Mai Fun dan Cha Guay Tieow. Kewujudan pelbagai jenis makanan tempatan yang di Phuket telah diiktiraf diperingkat antarabangsa dalam kategori gastronomi oleh UNESCO. Setelah tamat taklimat, peserta dibawa ke salah satu tokong komuniti untuk belajar mengenai budaya atau kepercayaan yang diamalkan dalam ajaran Budha di Phuket. Taklimat ringkas mengenai tokong, upacara serta beberapa adat yang dijalankan oleh masyarakat yang beragama Buddha telah disampaikan oleh pensyarah jemputan dari Prince of Songkla University (PSU), kampus Phuket.

Hari Ke-6 (6 April 2018): Pemerhatian tapak, Pengumpulan data & Kajian lapangan di sekitar Old Town Phuket

Kajian lapangan dan perbincangan bersama pensyarah pengiring

 

Pada hari ke-6, peserta yang telah dipecahkan kepada empat kumpulan akan membuat pemerhatian dan mengumpul data berdasarkan topik yang telah dipilih oleh setiap kumpulan.  Majoriti kumpulan telah memilih Thalang Road di Phuket Old Town sebagai kawasan kajian.  Hal ini kerana, berdasarkan pemerhatian yang dilakukan oleh peserta semasa lawatan hari ke-5, peserta telah memperoleh banyak maklumat dan mengenal pasti pelbagai isu serta masalah sepanjang lawatan ke Phuket Old Town tersebut.  Terdapat pelbagai aktiviti perniagaan yang dijalankan terutama di Jalan Thalang yang menjadi tumpuan dan tarikan untuk pelancong bagi memenuhi segala keperluan dan kehendak mereka.  Kepelbagaian tarikan dan aktviti tumpuan yang berlaku di Phuket Old Town tersebut membolehkan peserta telah memilih bandar tersebut sebagai kawasan kajian di samping mengenal pasti isu dan cadangan yang boleh dilaksanakan bagi bandar tersebut.  Semua peserta menjalankan pemerhatian dan mengumpul data masing-masing sehingga petang untuk membantu dalam perbincangan yang akan dibuat pada malam hari tersebut.

Hari Ke-7, Sabtu (7 April 2018) : Pembentangan akhir

Pembentangan projek dan pemberian sijil penyertaan antara universiti

 

Pada hari ke-7, peserta diminta membuat pembentangan mengenai pendapat dan cadangan yang dapat diterapkan di kawasan bandar lama Phuket. Setiap peserta telah dibahagikan kepada 4 kumpulan yang terdiri daripada 9 hingga 10 orang pelajar daripada 3 universiti yang  berbeza. Sesi pembentangan ini telah diadakan di Phuket City Municipality Learning Center dan wakil dari Museum Siam turut hadir sama mengikuti pembentangan oleh peserta bengkel dan memberi maklum balas. Idea yang dibentangkan oleh para peserta mendapat maklum balas yang baik dari pensyarah dan tetamu jemputan.

Majlis penutup dan sesi penyampaian sijil kepada peserta serta sesi bergambar telah diadakan selepas selesai pembentangan. Seterusnya, sebagai hadiah kepada semua peserta yang telah bertungkus lumus menjayakan sesi pembentangan akhir, peserta telah dibawa ke Laem Phan Wa Beach. Aktiviti di Laem Phan Wa Beach berbeza jika dibandingkan dengan Patong Beach. Aktiviti di sini lebih santai dan terdapat sebilangan kecil peniaga di sepanjang jalan di Laem Phan Wa Beach. Peserta berpeluang untuk mengambil gambar, membeli cenderahati dan makanan-makanan tempatan Thailand.

Sekitar majlis makan malam dan penyampaian cenderahati antara universiti

 

Pada jam 6 petang, peserta perlu bergerak ke tempat makan malam untuk jamuan perpisahan sebelum pulang ke universiti pada keesokan hari. Para peserta menikmati hidangan di Restoran Makan Buffet sambil bertukar-tukar cerita mengenai negara masing-masing. Pada pukul 9 malam, peserta dibawa pulang ke tempat penginapan dan wakil pensyarah memberikan ucapan terakhir sebelum peserta bersurai. Majlis bertukar hadiah dan cenderahati dijalankan antara pelajar dan juga antara universiti yang terlibat.

 Hari Ke-8, Ahad (8 April 2018) : Bertolak pulang ke Malaysia  

Program ini secara rasminya tamat pada hari ketujuh. Pada hari kelapan, seawal 5.30 pagi semua peserta sudah mulai mengosongkan bilik penginapan mereka dan bersiap sedia untuk berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket. Setelah bagasi-bagasi dibawa ke atas kenderaan, para peserta berangkat kira-kira pukul 6 pagi. Peserta-peserta dari UTM dihantar ke balai pelepasan antarabangsa dan para peserta dari MSU dan RMUTT pula bergerak ke balai pelepasan domestik. Pada pukul 8.05 pagi, peserta-peserta dari UTM pulang ke Malaysia manakala semua peserta dari MSU dan RMUTT pulang ke Bangkok, Thailand pada pagi yang sama.

Para peserta bergerak ke Lapangan Terbang Phuket untuk bertolak pulang

UTM Summer School – Malaysia Heritage Walks & Town Trails 2018 – National University Of Civil Engineering (NUCE)

UTM Summer School – Malaysia Heritage Walks & Town Trails 2018 – National University Of Civil Engineering (NUCE)

JOHOR BAHRU, 13 Februari 2018 – Seramai 25 orang peserta yang terdiri dari wakil program Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina UTM (7 pelajar dan 1 pensyarah pengiring) dan Faculty of Architecture and Planning (FAP), National University of Civil Engineering (NUCE) dari Hanoi, Vietnam (15 pelajar dan 2 pensyarah pengiring) telah telah menyertai program UTM Summer School Malaysia Heritage Walks & Town Trails 2018. Program UTM Summer School anjuran Fakulti Alam Bina UTM (FAB UTM) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah (JPBW) ini merupakan edisi kali ke-5 bersama pihak NUCE dan yang pertama selepas Perjanjian Persefahaman (MoU) ditandatangani pada Oktober 2017 antara kedua-dua institusi pengajian.

Program ini diketuai oleh Dr. Noor Aimran Samsudin, Pensyarah Kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah UTM selaku pengarah program. Matlamat utama program ini adalah untuk memperkenalkan usaha pemeliharaan bandar dari perspektif bidang perancangan bandar selain memupuk perasaan kecintaan terhadap nilai warisan tempatan dalam konteks alam bina melalui lawatan teknikal ke beberapa bandar warisan dan tapak bersejarah terpilih seperti Bandar Maharani Bandar Diraja dan Tapak Warisan Dunia UNESCO Bandaraya Melaka Bersejarah selain ke Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Sebuah slot perkongsian kuliah turut dianjurkan pada hari pertama program yang disampaikan oleh pengarah program, Dr. Noor Aimran Samsudin berkaitan kepentingan pemeliharaan identiti bandar warisan tempatan manakala Dr. Lee Yoke Lai dari Jabatan Senibina Landskap berkongsi mengenai identiti landskap budaya Malaysia dan sumbangannya terhadap karektor setempat. Delegasi Vietnam yang diketuai oleh Dr. Nguyen Cao Lanh, Timbalan Presiden FAP NUCE telah disambut kehadirannya ke UTM oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Rafee Majid, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi, Komersialisasi dan Jaringan).

Aktiviti seperti ini telah berjaya membantu merealisasikan Bidang Tumpuan ke-7 dalam Pelan Global UTM 2012-2020 iaitu “Memperkasakan jenama UTM di peringkat global”. Program UTM Summer School yang bermula pada 31 Januari sehingga 5 Februari 2017 ini turut diisi dengan penganjuran bengkel mini yang menekankan akan pentingnya pengukuhan identiti bandar warisan dengan citra tempatan. Peserta dikehendaki untuk mengenalpasti komponen dan elemen reka bentuk bandar yang menyumbang ke arah pembentukan identiti tempatan.

Hari-1, Khamis (1 Februari 2018) : Sesi kuliah dan bertolak ke Muar

Hari-2, Jumaat (2 Februari 2018) : Menyelusuri Sungai Muar

Pada sebelah pagi, peserta dibawa menyelusuri Sungai Muar menaiki bot dari Jeti Tanjung Emas. Dengan menyelusuri sungai, peserta berpeluang melihat keindahan Bandar Diraja dari sudut visual dan pemandangan yang berbeza. Bandar Maharani yang mula dibuka sejak tahun 1887 semasa zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar berkembang pesat selari mengikut tebing sungai sehingga muara Sungai Muar. Pada hari ini kewujudan bangunan warisan yang masih terpelihara seperti istana, masjid, pejabat daerah, mahkamah, balai polis dan deretan bangunan rumah kedai tradisional menghidupkan persekitaran bandar tersebut sebagai sebuah Bandar Diraja di Johor. Peserta berpeluang menyelusuri sejarah Kesultanan Johor dan hubungkaitnya dengan sejarah kegemilangan Melaka. Seterusnya, lawatan diteruskan lagi ke Melaka Bandaraya Bersejarah. Ketika di Melaka, peserta dibawa menyelusuri laluan jejak warisan yang ditetapkan oleh penganjur. Permulaan perjalanan dimulakan dengan memberi pendedahan kepada sejarah Bandaraya Melaka. Peserta didedahkan dengan sejarah kewujudan Kota Melaka (A‟ Famosa) yang pernah menjadi pusat pentadbiran kepada sebuah kerajaan maritim terunggul di sebelah Timur bermula zaman Kesultanan Melayu Melaka sebelum ditawan oleh Portugis, Belanda dan British. Perjalanan diteruskan lagi ke Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka bagi memberi 

pendedahan tentang sejarah permulaan Melaka pada zaman dahulu dan pengetahuan berhubung institusi Kesultanan Melayu Melaka. Selain itu, peserta dapat menerokai dan melihat paparan koleksi pakaian tradisional, aksesori perhiasan dan peralatan senjata yang digunakan pada zaman dahulu. Setelah selesai menerokai muzium tersebut, pelajar dibawa ke Bukit St. Paul bagi melihat Gereja St. Paul dengan lebih jelas. Di sini, peserta didedahkan dengan pelbagai pengetahuan yang melibatkan pembentukan sejarah daripada para pensyarah. Pada sebelah malam pula, peserta diraikan dalam sebuah jamuan di Restoran Muara Sungai Duyung.

Hari-3 Sabtu (3 Februari 2018) : Tapak Warisan Dunia Melaka UNESCO Melaka

Pada hari ke-3 terdapat beberapa muzium yang dilawati peserta iaitu Muzium Negeri, Muzium Etnografi dan Muzium Senibina. Kawasan deretan bangunan rumah kedai tradisional turut diterokai keunikkan senibinanya khususnya di sekitar Jalan Tun Tan Cheng Lock dan Jalan Jonker. Peserta diperkenalkan dengan kepelbagaian warisan nyata (tangible) dan tidak nyata (intangible) yang berkait rapat dengan Outstanding Universal Values (OUV) yang terkandung di tapak UNESCO tersebut termasuklah melihat kehidupan masyarakat tempatan di Kg. Ketek dan Kg. Morten. Pada sebelah malam peserta turut dibawa menyelusuri Sungai Melaka melihat keindahan lampu hiasan yang menerangi pesisir sungai dan deretan rumah kedai dan perkampungan tradisional, Kampung Morten.

Hari Ke-4, Ahad (4 Februari 2018) – Putrajaya dan Kuala Lumpur

Setelah melawat di sekitar Putrajaya, peserta dibawa ke tempat penginapan yang telah disediakan. Setelah itu, para peserta dibawa ke Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dengan menaiki pengangkutan awam. Di sini, mereka diberi peluang untuk merasai pengalaman menggunakan Transit Aliran Ringan (LRT) yang menjadi salah satu kemudahan pengangkutan moden ibu negara. Setelah sampai di KLCC, para peserta diberi peluang untuk menonton pertunjukan air pancut berirama di hadapan KLCC yang menjadi tempat ikonik. Para peserta dapat melihat dan merasasi suasana aktiviti yang dilakukan oleh warga Kuala Lumpur pada waktu malam hari. Pada pukul 11 malam, para peserta dibawa pulang dengan menaiki LRT dan berjalan kaki ke tempat penginapan.

Hari Ke-5, Isnin (5 Februari 2018) : Pembentangan akhir

Pada hari terakhir, peserta diminta membuat pembentangan mengenai identiti dan perbezaan di setiap tapak lawatan yang peserta telah lewati iaitu di Muar, Melaka, Putrajaya, dan Kuala Lumpur. Setiap peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan dan 1 kumpulan terbahagi kepada 5 ke 6 peserta. Kumpulan 1 telah menerangkan mengenai perbezaan antara setiap tapak lawatan, kumpulan 2 menerangkan apa itu identiti di setiap tapak lawatan, manakala kumpulan 3 membentangkan mengenai keunikan makanan di Malaysia dan identiti di Muar, dan kumpulan terakhir menerangkan mengenai pelbagai jenis senibina dan identiti. Setiap kumpulan berjaya melakarkan pelbagai jenis senibina yang terdapat di setiap tempat mereka lawati. Pada akhir pembentangan, setiap pensyarah telah memberi komen yang positif kepada setiap pembentangan peserta. Wang saguhati turut diberikan kepada peserta hasil kutipan „denda‟ yang dikenakan kepada setiap peserta yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing semasa berkomunikasi dalam program ini bagi menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris. Majlis penutup dan sesi penyampaian sijil kepada peserta telah diadakan selepas selesai pembentangan. Selesai penyerahan sijil, peserta dibawa melawat ke sekitar Masjid Jamek. Pihak pengurusan masjid telah sudi menerangkan sejarah pembinaan masjid tersebut. Peserta juga dibawa melawat sekitar masjid dan merasai suasana di dalam masjid dan juga di masjid ini mempunyai pelbagai Al-quran terjemahan dan ini membolehkan pelancong memahami isi kandungan Al-quran tersebut. Selepas itu, peserta dibawa ke Pasar Seni dan seterusnya ke Bangunan Sultan Abdul Samad-Dataran Merdeka. Pelbagai perisitwa penting berkaitan sejarah kemerdekaan negara telah dikongsikan kepada peserta di kawasan tersebut. Selesai lawatan, semua peserta telah berangkat pulang dengan menghantar delegasi Vietnam ke KLIA2 pada sebelah petang sebelum kembali pulang ke kampus UTM JB.

31 architectural students from KU visits Malaysia

31 architectural students from KU visits Malaysia

Assoc. Prof. Gurupiah Mursib (most left in the front row) and Ar. Razin Mahmood (second right on the front) after the lucheon visit by KU students at Denai House in Johor Bahru.

JOHOR BAHRU, 3 January 2018-  About 31 architectural students and two faculty members from Kansas University (KU) Lawrence, United States of America have participated in Malaysia Architectural Study Tour 2018 organized by Institut Sultan Iskandar (ISI) of Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

The delegation which led by Assoc. Prof. Dr. Kapila Silva will be staying in Malaysia for seven days and six nights starting from 3rd January 2018 to 9th January 2018 visiting state of Johor, Selangor,Perak and Federal Territory of Kuala Lumpur.

Programme Leader for Malaysia Architectural Study Tour 2018, Assoc. Prof. Dr. Gurupiah Mursib said that the tour is part of Kansas University Study Abroad Programme which involves three countries namely Malaysia, Singapore and Japan.

“As for tour in Malaysia, ISI has prepared a ‘short and sweet’ seven days and six nights programme that covers the three above mentioned states.

“Excusion includes architecture that is award winning and iconic to the traditional.  Among highlights are Petronas Twin Tower Kuala Lumpur, Kuala Lumpur Tower, Mesiniaga Tower, The Troika, Tha Capers and Universiti Teknologi Petronas,” said Assoc Prof. Gurupiah.

Also visited were Arc Rimbayu, National Mosque, Bamboo Playhouse, Lantern Hotel, OBYU Tower, PAM Centre, Penghulu Seman House, Badan Warisan and many more. Other significant places in the visit list are Lake Garden, China Town and Batu Caves.

The tour also features Malaysia’s prominenet regionalist architect, Ar. Jimmy Lim who will share his ‘Tropical Laboratory’ and the implementation in regionally rooted contemporary houses.

A welcoming luncheon was held in Denai house of Ar. Razin Mahmood in Johor Bahru today. The warm ceremony was also attended by Dean Faculty of Built Environment, Prof. Dr. Mohd Hamdan Hj. Ahmad, Head of Architecture Department, Dr. Abdul Halim Hussein and ISI Executive Director, Assoc. Prof Dr Syed Ahmad Iskandar Syed Ariffin.

Ar. Razin Mahmood giving a briefing about Malaysian architecture to the visiting KU architectural students at Denai House.

 

Source: 31 architectural students from KU visits Malaysia

UTM Summer School-Built Environment Experiences 2017

UTM Summer School-Built Environment Experiences 2017

JOHOR BAHRU, 18 Oktober 2017 – Seramai 39 orang peserta yang terdiri peserta program Perancangan Bandar dan Wilayah dari Fakulti Alam Bina UTM (15 pelajar dan 1 pensyarah pengiring), Perencanaan Wilayah dan Kota (15 pelajar dan 2 pensyarah pengiring) dan Teknik Industri (5 pelajar dan 1 pensyarah pengiring) masing-masing dari Fakultas Teknik, Universitas Sebelas Maret, Surakarta, Indoensia (UNS) telah terlibat dalam program UTM Summer School-Built Environment Experiences 2017. Program UTM Summer School anjuran Fakulti Alam Bina UTM (FAB UTM) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah (JPBW) dengan kerjasama Centre for Innovative Planning and Development (CiPD) ini telah disertai oleh 23 orang peserta dari Universitas Sebelas Maret, Surakarta, Indoensia (UNS) buat kali pertamanya dengan temanya “Accelerating Green Development in Asia”.

Pengarah program, Dr. Noor Aimran Samsudin, pensyarah kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah UTM berkata, matlamat utama program ini adalah untuk memperkenalkan hasil kajian UTM berkaitan amalan pembangunan mampan dan usaha mengurangkan perlepasan karbon ke alam sekitar dari perspektif bidang perancangan bandar khususnya di sekitar koridor pembangunan wilayah Iskandar Malaysia. Beberapa perkongsian dapatan dari pakar rujuk UTM iaitu Prof. TPr. Dr. Ho Chin Siong, Pengarah UTM Low Carbon Asia Research Centre, TPr. En. Chau Loon Wai dan Dr. Ariva Sugandi Permana, pensyarah kanan JPBW turut disampaikan dalam sebuah aktiviti FBE Talk Series. Aktiviti seperti ini dapat merealisasikan Bidang Tumpuan ke-7 dalam Pelan Global UTM 2012-2020 iaitu “Memperkasakan jenama UTM di peringkat global”. 

Selain itu, peserta berpeluang melawat usahasama penduduk kampung warisan, Kampung Sungai Melayu yang terletak berhampiran pusat pentadbiran baru Negeri Johor, Kota Iskandar membangunkan pakej pelancongan berasaskan ekopelancongan. Para peserta dibawa menyelusuri sepanjang Sungai Melayu melihat keindahan flora dan fauna di pesisiran hutan paya bakau yang masih terpelihara di sepanjang sungai tersebut selain melawat perusahaan ternakan kupang yang diusahakan oleh penduduk setempat. Program UTM Summer School yang bermula pada 17 sehingga 21 Oktober 2017 ini turut melibatkan sesi taklimat oleh pihak ThinkCity JB iaitu sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang komited dalam mempromosikan usaha pembangunan semula bandar warisan melalui rehabilitasi bandar (rehabilitation) dan rejuvenasi bandar (rejuvenation) dengan menekankan penglibatan komuniti setempat. Peserta turut berpeluang melawat pusat bandaraya Johor Bahru melalui aktiviti jejak warisan.

Sebuah mesyuarat kerjasama antara pihak JPBW dan UNS yang dipengerusikan oleh Prof. Madya TPr. Dr. Hairul Nizam Ismail (Ketua Jabatan JPBW) turut diadakan untuk membincangkan sebarang bentuk kerjasama antara kedua-dua program pengajian pada masa hadapan melalui platform perjanjian persefahaman (MoU) sediada antara UTM dan UNS. Antara persetujuan awal adalah komitmen pihak UNS untuk menyertai program UTM Summer School setiap tahun selain cadangan mengadakan penerbitan secara berkala dan penganjuran bersama bengkel atau persidangan di peringkat antarabangsa.

Pihak UNS diwakili oleh Dr. Ir. Winny Astuti dan Dr. Paramita Rahayu dari Program Program Studi Perencanaan Wilayah dan Kota, UNS. Dalam sebuah pertemuan, Prof. Dr. Mohd. Hamdan Haji Ahmad, Dekan Fakulti Alam Bina UTM turut menyambut baik cadangan Program Program Studi Perencanaan Wilayah dan Kota, UNS untuk menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah UTM.

Hari-1, Selasa (17 Oktober 2017) : Ketibaan Peserta ke UTM dan Daftar Masuk       

Delegasi UNS telah dijemput dari KLIA2 dengan bas UTM. Dua pelajar UTM turut serta selaku pengiring delegasi tersebut dan membawa peserta mendaftar masuk di Kolej-kolej Kediaman UTM. Tiada aktiviti disusun untuk hari pertama kerana peserta telah tiba lewat malam.      

Hari-2, Rabu (18 Oktober 2017) : Lawatan ke Kampung Sungai Melayu (Ekopelancongan Sg. Melayu) & Iskandar Puteri    

Peserta telah bertolak ke Kampung Sungai Melayu seawal pagi untuk menyertai aktiviti-aktiviti ekopelancongan yang telah diaturkan. Aktiviti sebelah pagi bermula dengan sesi taklimat oleh Ketua Kampung Sg. Melayu iaitu Pak Andak. Menurut beliau, kampung tersebut kini menjadi tumpuan para pelancong luar negara. Hasil usaha sama beberapa agensi kerajaan, pendapatan penduduk yang terdiri daripada para nelayan kini turut bertambah melalui penglibatan secara usaha sama dalam penyediaan pakej ekopelancongan seperti aktiviti menyelusuri sungai, menangkap ikan dan melawati perusahaan ternakan kupang. Peserta sangat teruja untuk menaiki bot dan menyelusuri Sungai Melayu melihat keindahan hutan paya bakau di sepanjang pesisiran tebing berhampiran. Peserta turut dibawa melawat perusahaan kupang yang diusahakan penduduk kampung tersebut melalui penubuhan koperasi. Selepas menikmati hidangan masakan asam pedas yang terkenal di sebuah restoran berhampiran jeti nelayan, para peserta dibawa melawat ke sekitar Iskandar Puteri yang dahulunya dikenali sebagai Nusajaya iaitu pusat pentadbiran baru Negeri Johor. Antara tempat yang dilawati adalah perkarangan Kota Iskandar, Masjid Nusajaya, Puteri Harbour dan Medini Mall.

Hari Ke-3, Khamis (19 Oktober 2017) : FBE Talk Series & Lawatan Sekitar Fakulti

Sebuah siri kuliah telah diaturkan untuk memenuhi tema program iaitu “Accelerating green development in Asia” dengan menjemput pakar-pakar UTM seperti Prof. Dr. Ho Chin Siong, Pengarah UTM Low Carbon Asia Research Centre, En. Chau Loon Wai dan Dr. Ariva Sugandi Permana, pensyarah kanan JPBW. Antara lain topik yang dibincangkan adalah pengalaman koridor pembangunan wilayah Iskandar Malaysia dalam menerapkan pembangunan secara mampan dan rendah karbon. Pada sebelah petang, peserta dibawa melawat kemudahan di sekitar FAB seperti Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM), UTM Low Carbon Asia Research Centre dan Centre for Innovative Planning and Development (CiPD). Sebuah mesyuarat turut diadakan untuk membincangkan sebarang  usaha yang dapat dijalankan untuk mengukuhkan lagi jalinan kerjasama dalam bidang pengajian dan penyelidikan khususnya berkaitan bidang perancangan bandar. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh wakil UNS iaitu Dr. Ir. Winny Astuti dan Dr. Paramita Rahayu dari Program Program Studi Perencanaan Wilayah dan Kota. Pihak JPBW diwakili oleh Prof. Madya TPr. Dr. Hairul Nizam Ismail (Ketua Jabatan JPBW). Antara lain kedua-dua pihak telah bersetuju untuk melihat sebarang kemungkinan penganjuran program kerjasama seperti bengkel, simposium dan persidangan di peringkat antarabangsa selain komitmen pihak UNS untuk menghantar delegasi mereka setiap tahun untuk penyertaan UTM Summer School di Malaysia. Kedua-dua pihak bersetuju untuk melihat peluang penerbitan melalui usaha sama antara pensyarah UNS dan UTM pada masa hadapan. Kerjasama ini dijalinkan melalui MoU sedia ada yang telah terjanlin antara kedua-dua institusi pengajian.

Hari Ke-4, Jumaat (20 Oktober 2017) : Lawatan ke sekitar Pusat Bandaraya Johor Bahru

Peserta telah dibawa melawat ke sekitar pusat bandar Johor Bahru melalui aktiviti jejak warisan JB. Bermula dari Jalan Tan Hiok Nee, Jalan Wong Ah Fook dan Jalan Meldrum, peserta diperkenalkan dengan kawasan pusat bandar lama yang mengandungi deretan rumah kedai tradisional. Dengan kerjasama pihak Think City cawangan Johor Bahru, sebuah taklimat telah disampaikan kepada peserta mengenai penglibatan pihak mereka dalam memberi kesedaran kepada masyarakat awam berkaitan usaha pemeliharaan bangunan bernilai warisan di kawasan sekitar. Menurut Think City, penglibatan awam dalam proses perancangan dan pembangunan khususnya di sektiar bandar-bandar bersejarah seperti ini perlu dipertingkatkan lagi. Pelbagai geran inisiatif dan khidmat nasihat profesional dapat disediakan jika pemilik bangunan dapat turut serta menjayakan usaha pembaharuan semula kejiranan mereka. Peserta turut mengambil peluang untuk membeli belah di pusat membeli belah berhampiran kawasan ini. Bangunan-bangunan warisan yang terdapat di sekitar kawasan tersebut perlu dipelihara dengan sewajarnya sebagai bukti tapak permulaan kemodenan Bandaraya Johor Bahru.

Hari Ke-5, Sabtu (21 Oktober 2017) : Berbasikal di sekitar kampus UTM JB & majlis penutup

Peserta telah dibawa melawat ke sekitar pusat bandar Johor Bahru melalui aktiviti jejak warisan JB. Bermula dari Jalan Tan Hiok Nee, Jalan Wong Ah Fook dan Jalan Meldrum, peserta diperkenalkan dengan kawasan pusat bandar lama yang mengandungi deretan rumah kedai tradisional. Dengan kerjasama pihak Think City cawangan Johor Bahru, sebuah taklimat telah disampaikan kepada peserta mengenai penglibatan pihak mereka dalam memberi kesedaran kepada masyarakat awam berkaitan usaha pemeliharaan bangunan bernilai warisan di kawasan sekitar. Menurut Think City, penglibatan awam dalam proses perancangan dan pembangunan khususnya di sektiar bandar-bandar bersejarah seperti ini perlu dipertingkatkan lagi. Pelbagai geran inisiatif dan khidmat nasihat profesional dapat disediakan jika pemilik bangunan dapat turut serta menjayakan usaha pembaharuan semula kejiranan mereka. Peserta turut mengambil peluang untuk membeli belah di pusat membeli belah berhampiran kawasan ini. Bangunan-bangunan warisan yang terdapat di sekitar kawasan tersebut perlu dipelihara dengan sewajarnya sebagai bukti tapak permulaan kemodenan Bandaraya Johor Bahru. Sebuah majlis penutup dan sesi penyampaian sijil kepada peserta telah diadakan di Restoran Makjah, Rumah Alumni UTM pada sebelah malam. Peserta UNS bertolak melawat ke Kuala Lumpur pada 22 Oktober 2017 dan berangkat pulang ke Solo pada hari berikutnya.