Inisiatif ini merupakan kesinambungan bagi Program UTM Sihat dan Lestari pada tahun lepas bagi menyahut saranan Naib Canselor UTM agar membina gaya hidup sihat fizikal dan mental dikalangan warga UTM, malah memperkukuh budaya kerja UTM yang lebih lestari bagi tahun 2026 selaras dengan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) di kampus.
Sejurus selepas ucapan, para peserta menyertai sesi senamrobik yang menceriakan suasana sebelum memulakan aktiviti brisk walking sejauh 3 kilometer sambil mengutip sampah di sepanjang laluan dari kawasan FABU, Lingkaran Ilmu sehingga ke Taman Tropika UTM.
Jarak 3 km ini bersamaan kira-kira 4,000–4,500 langkah, dan telah memenuhi hampir separuh daripada sasaran Kementerian Kesihatan Malaysia agar berjalan 10,000 langkah sehari, sekali gus membuktikan bahawa satu program ringkas mampu memberi impak besar terhadap kesihatan harian.
Dari sudut pembakaran tenaga, berjalan pantas sejauh 3 km dianggarkan membakar sekitar 150–200 kalori, di samping membantu meningkatkan kecergasan jantung dan memupuk gaya hidup aktif di kalangan FABU.
Aktiviti plogging iaitu beriadah sambil mengutip sampah ini bukan sekadar senaman, malah menjadi simbol kesedaran kolektif terhadap penjagaan persekitaran kampus.
Hasil kutipan mencatatkan sebanyak 7.2 kilogram sisa pepejal, sekali gus membuktikan bahawa tindakan kecil secara bersama mampu memberi impak yang signifikan. Anggaran pengurangan karbon adalah ± 11 – 18 kg CO₂e, iaitu hasil daripada pengutipan sampah yang boleh dikitar semula dan mengelakkan pencemaran sekunder, bersamaan dengan pelepasan karbon sebuah kereta yang dipandu sekitar 60–90 km, atau penggunaan elektrik sebuah rumah selama 3–5 hari.
Program ini selari dengan aspirasi UTM Ascend 2030, yang menekankan pembangunan universiti berteraskan kelestarian, kesejahteraan komuniti dan tanggungjawab sosial. Melalui pendekatan yang inklusif dan berimpak, FABU terus menyokong agenda universiti dalam melahirkan warga kerja yang sihat, prihatin dan berdaya saing.
Program Lestari dan Sihat FABU siri 1 ini dianjurkan oleh Taskforce FABU, yang bukan sahaja mengeratkan silaturahim dalam kalangan staf, malah menjadi peringatan bahawa kelestarian bermula dengan langkah yang sederhana yang bermula daripada diri sendiri, untuk kampus dan masa depan yang lebih hijau.
Ditulis oleh
Green Manager FABU