Kuala Lumpur, 8 September 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menerima kunjungan hormat daripada delegasi Makmal Satelit Forensik Geospatial (MSFG) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Bilik Perbincangan KPN, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.

Kunjungan yang diketuai oleh Dekan Fakulti Alam Bina & Ukur, UTM, Profesor Sr. Dr. Kherun Nita Ali itu bagi memperkenalkan MSFG UTM-PDRM iaitu kolaborasi kedua-dua pihak yang merangkumi peranan makmal, kepakaran dan teknologi sedia ada serta produk-produk berasaskan Teknologi Geospatial Kecerdasan Buatan (AI) bagi tujuan keselamatan awam dan negara.
Perbincangan turut menekankan kerjasama dengan PDRM dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan aplikasi teknologi, termasuk peluang dana bagi menyokong kajian AI untuk siasatan forensik.
Turut hadir, Pengarah MSFG UTM-PDRM, Sr. Dr. Mohd Farid Mohd Ariff, barisan Pengarah PDRM, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato’ Kamaruzaman Abdullah, Ketua Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman, SAC Abdul Rahman Kassim serta ahli-ahli MSFG.