ALUMNI

Alumni FABU UTM Bawa Peranan Penting dalam Projek Satelit Remote Sensing Swasta Pertama Malaysia, UZMASat-1

Alumni FABU UTM Bawa Peranan Penting dalam Projek Satelit Remote Sensing Swasta Pertama Malaysia, UZMASat-1

Johor Bahru– Kejayaan seorang alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Nur Iza binti Ismail, membuktikan bahawa kepakaran yang dibina di UTM mampu melahirkan pemimpin industri sains angkasa bertaraf global.

Graduan Sarjana Muda Sains Remote Sensing (2001–2005), Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi (kini Fakulti Alam Bina dan Ukur, FABU), kini menerajui peranan penting sebagai Ketua Penyampaian Projek (Head Project Delivery) di UZMA Geospatial AI Sdn. Bhd., sebuah syarikat tempatan yang melancarkan satelit remote sensing Malaysia pertama di bawah sektor swasta, UZMASat-1.

Dalam projek berprestij ini, Nur Iza bertanggungjawab menyelaras Unit Analitik dan Penyampaian Projek – termasuk pembangunan aplikasi, analisis data satelit, penyediaan metodologi, serta memastikan penyampaian projek berjalan lancar dan menepati sasaran. Menurut beliau, asas pembelajaran di UTM banyak membentuk kemahiran analitik, penyelidikan, dan pemikiran kritis yang kini menjadi teras dalam pengurusan projek satelit negara.

“Pengalaman di UTM, daripada kerja lapangan, tugasan berkumpulan hingga penyertaan aktiviti kepimpinan, telah membina keyakinan diri, disiplin, dan jaringan profesional yang terus memberi nilai dalam kerjaya saya. Hari ini, saya berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada pasukan yang menjayakan UZMASat-1,” jelas Nur Iza.

Beliau turut menekankan bahawa bidang geospatial dan remote sensing semakin kritikal di Malaysia, terutamanya dalam pembangunan bandar pintar, mitigasi bencana, pengurusan sumber alam dan keselamatan negara. Dengan kemunculan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin, pengkomputeran awan dan satelit mikro, kepakaran dalam bidang ini akan terus berkembang pesat.

Sebagai alumni, Nur Iza menasihati pelajar UTM khususnya di FABU agar sentiasa membina asas teori yang kukuh, menguasai kemahiran teknikal, dan berani mencuba perkara baharu. “Kemampuan bekerja dengan disiplin serta pengawasan minimum juga sangat dihargai dalam industri,” katanya.

Kejayaan Nur Iza menjadi inspirasi buat warga UTM dan membuktikan peranan universiti sebagai peneraju ilmu serta inovasi. Seiring dengan visinya, FABU terus komited melahirkan graduan berdaya saing global dan menjadi jambatan antara akademia serta industri untuk memberi impak nyata kepada masyarakat dan negara.