Prof. Wahid menerima sumbangan dari wakil EM Malaysia Group di Bilik Senat, Dewan Sultan Iskandar sambil diperhatikan oleh Dr. Yusof Boon (kiri) dan Pengarah Program, Dr. Mohd. Hisham Rashidi (kanan).
JOHOR BAHRU, 17 Ogos 2017 – Sebanyak RM150 ribu berjaya dikumpulkan menerusi sumbangan warga kampus, pertubuhan, persatuan dan individu dari dalam dan luar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi menjayakan Program Kembara Lestari Komuniti Kemboja 2017.
Antara sumbangan yang diterima adalah daripada rakan strategik EM Malaysia Group, Sekolah Agama Rakyat Sri Seremban dan Pejabat Alumni UTM, Alumni Sekolah Alam Shah dan PERTISAS.
Naib Canselor Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkata, Program Kembara Lestari Komuniti Kemboja adalah antara inisiatif UTM untuk berkongsi kepakaran bagi membantu masyarakat di dalam dan luar negara.
Menurutnya, UTM bukan sahaja berfungsi sebagai agensi yang menyediakan pendidikan tinggi kepada masyarakat malah berperanan memberikan khidmat masyarakat kepada golongan yang memerlukan.
“Peranan ini selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk berkongsi kepakaran dan melahirkan mahasiswa yang mempunyai sahsiah yang menyeluruh dan juga bersifat kesukarelawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis penyampaian sumbangan dan sijil kepada rakan strategik Program Kembara Lestari Komuniti Kemboja yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Sultan Iskandar tengah hari tadi.
Antara rakan strategik yang terlibat dalam program yang akan berlangsung di Kemboja adalah Yayasan Salam Malaysia, Media Prima (TV3), EM Malaysia Group, Sekolah Agama Rakyat Sri Seremban dan juga Alumni Sekolah Alam Shah.
Sementara itu, Pengarah Endowmen UTM, Prof. Madya Dr. Yusof Boon berkata, antara aktiviti yang akan diadakan sempena Program Kembara Lestari Komuniti Kemboja yang akan berlangsung dari 29 Ogos hingga 3 September adalah membina 20 telaga tiub, melakukan ibadah korban dengan menyembelih 50 ekor lembu an berkhatan.
“Program berkhatan akan diadakan di Kampung Khleang Sbek dan Koh Sohtin membabitkan 80 peserta yang akan dikendali oleh Pusat Kesihatan UTM yang diketuai oleh Pengarahnya, Dr Ismail Ahmad.
“Tujuan utama program ini adalah untuk membantu masyarakat Kemboja dengan menyalurkan sumbangan daripada warganegara Malaysia yang prihatin menerusi Tabung Endowmen UTM,” katanya.
Beliau berkata, Tabung Endowmen UTM bukan hanya untuk membantu mahasiswa UTM, tetapi juga dengan kehendak penyumbang wang sumbangan boleh digunakan untuk tujuan khusus seperti membantu masyarakat di Kemboja.
Timbalan Pengarah Projek, Shahrin Hashim berkata, Kampung Khlaeng Sbek dipilih bagi meneruskan kesinambungan program Serivce Learning untuk membangunkan kampung budaya lestari yang telah dimulakan sejak 2013.
“Antara projek pembangunan yang telah dilaksanakan UTM adalah membangunkan Pusat Informasi dan Galeri Kampung Khleang Sbek, Pusat Usahawan Perniagaan Darul Sakinah, Pusat Jahitan Komuniti serta aktiviti pembelajaran bahasa Inggeris untuk kanak-kanak.
“Kami juga telah melaksanakan penambahbaikan kemudahan sekolah, kajian kualiti air bersih, pemeriksaan dan rawatan kesihatan dan pembinaan telaga tiub,” katanya.
Source: RM150 ribu dikumpul untuk Kembara Lestari Komuniti Kemboja 2017 | Hub Berita