Pada 30/1/2013 hingga 4/2/2013, Persatuan QS-Bina, Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia Johor Bahru telah menganjurkan Program Kampung Angkat & Khidmat Masyarakat 2013 ke Kg. Lohan Ulu, Ranau Sabah. Kampung ini terletak kira-kira 30km dari Gunung Kinabalu. Program ini telah diadakan dengan kerjasama daripada Program Ukur Bahan, Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Kota Kinabalu. Seramai 28 mahasiswa dari UTM, 22 mahasiswa dari Politeknik KK, dan 12 orang pensyarah daripada kedua-dua institusi telah berganding bahu untuk menjayakan program tersebut.
Program ini merupakan program kolaborasi yang julung kali diadakan di antara dua institusi, diketuai oleh pengarah program Siti Absah Ahmad. Ianya bertujuan untuk melahirkan peribadi mahasiswa yang lebih berdaya maju, mahasiswa yang bercampur dengan masyarakat luar, di samping bersama-sama mempromosikan jurusan ukur bahan kepada masyarakat luar. Sepanjang program ini, para peserta telah membantu mengecat kembali Masjid Lohan Ulu, di mana masjid tersebut merupakan kebanggaan orang kampung yang dibina hasil daripada titik peluh mereka sendiri. Antara aktiviti lain juga seperti membuat landskap, memasang papan tanda kampung tersebut, selain mengadakan kenduri, bengkel usahawan, bengkel motivasi & bengkel promosi UTM & Politeknik bersama masyarakat kampung.
Sumbangan pembinaan tempat mengambil air sembahyang perempuan dan beberapa peralatan masjid telah diserahkan kepada Ketua Kampung Lohan Ulu, Hj. Ribin Bin Hamid. Beliau telah menyatakan rasa gembira beliau terhadap rombongan ini dan mengalu-alukan kedatangan peserta pada masa akan datang.
Mahasiswa telah didedahkan dengan adat serta budaya masyarakat kaum Dusun di Sabah, disamping menikmati pemandangan alam semula jadi yang indah. Program ini memberi kesan dan impak yang besar apabila interaksi antara mahasiswa ukur bahan dari kedua-dua institusi diteruskan dari pelbagai medium teknologi, begitu juga hubungan antara pensyarah dan mahasiswa dengan kampung angkat mereka.
Ucapan terima kasih juga kepada penaja-penaja yang sudi menaja program ini dari segi wang mahupun bahan. Antara penaja-penajanya adalah Sabah Development Bank, Primercon Sdn. Bhd, Warisan Harta Sabah Sdn. Bhd, Taqi Holdings Sdn. Bhd, Independent Marine and Engineering Consultant, Pejabat Ketua Menteri Kerajaan Negeri Sabah, SAA Enterprise Sdn. Bhd. Dan Pusat Latihan OISCA Tenom.
//