Proses perbandaran yang pesat memberi tekanan kepada bandar-bandar utama di Malaysia dalam menghadapi cabaran masa hadapan. URBANICE Malaysia di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan merupakan pusat kecemerlangan yang memberi penekanan ke arah membina bandar yang lebih baik di Malaysia. Melalui program Malaysia 100 Year Cities (M100YC), ia merupakan inisiatif URBANICE mendekati pihak universiti di Malaysia dalam memperolehi idea dan inovasi kearah bandar yang lebih baik untuk 100 tahun yang berikutnya. Satu Memorandum Persetujuan (MoA) telah ditandatangani diantara URBANICE dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) yang menganugerahkan geran sebanyak RM 10,000 bagi menyumbang idea dan inovasi dalam merancang dan membina bandar di Malaysia yang lebih baik untuk 100 tahun yang akan datang. Dilancarkan oleh Pengarah Eksekutif UN Habitat, Datoโ€™ Maimunah Mohd Sharif, program M100YC menekankan kepada beberapa aspek utama iaitu inovasi teknologi, mobiliti bandar, infrastruktur pintar dan tadbir urus komuniti. Dengan penglibatan sebanyak 11 universiti awam dan swasta di Malaysia, UTM melalui FABU telah mengambil pendekatan unik iaitu dengan menganjurkan pertandingan rekabentuk M100YC di peringkat fakulti bagi mendapatkan idea dan inovasi yang terbaik di kalangan pelajar. Mengambil semangat UTM Sinergi 4.0, di antara syarat utama bagi menyertai pertandingan ini ialah di mana setiap kumpulan pelajar mestilah merangkumi gabungan 2 atau lebih program. Ini adalah bertujuan untuk memastikan idea dan inovasi reka bentuk yang dihasilkan lebih holistik dan menyeluruh. Idea yang terbaik telah dibawa dan dipamerkan di Malaysia Urban Forum (MUF) 2019 yang berlangsung pada 18 hingga 19 Februari 2019 di Pusat Konvensyen KLCC. Pelajar FABU UTM yang terpilih telah membentangkan hasil kerja mereka dengan memilih aspek mobiliti bandar sebagai tema utama rekabentuk mereka.

more photos (click here)