Kredit Foto: TV Selatan

Kredit Foto: TV Selatan

JOHOR BAHRU, 13 Ogos — Seramai 250 ahli akademik, penyelidik serta pakar tempatan dan antarabangsa dalam bidang perancangan bandar dan profesion berkaitan akan bersama-sama membincangkan hala tuju masa depan perbandaran yang bercirikan Asia.

Perbincangan berkenaan diadakan menerusi Kongres Antarabangsa Persatuan Perancangan Sekolah Asia (APSA) 2015 yang kini sedang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, hingga 14 Ogos.

Naib Canselor UTM, Prof Dr. Ir. Wahid Omar berkata perancangan bandar perlu diteliti dengan baik agar memberi kesan yang positif kepada penduduk setempat.

Beliau turut memberi contoh kawasan di Nusajaya mempunyai perancangan bandar strategik yang turut melibatkan pihak UTM untuk membangunkannya.

Wahid ditemui pada sidang media selepas merasmikan kongres kali ke-13 itu pada Rabu.

Hadir sama Presiden APSA 2015 Prof Chu-Joe Hsia dan Naib Presidennya Prof Dr. Syed Zainol Abidin Idid.

Kongres berkenaan menjanjikan pertukaran ilmu dengan perbentangan 182 kertas kerja.

Sebanyak 146 kertas kerja daripadanya adalah pembentangan dari peserta antarabangsa termasuk Australia, Jepun, Korea Selatan, India, China, Singapura dan Indonesia.

Sementara negara Eropah yang terlibat ialah Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Menerusi perbincangan berkenaan, agenda perbandaran Asia bakal menjadi panduan kepada pendidikan dan amalan perancangan di Asia yang meliputi tahap perbandaran yang belum pernah terjadi di Asia termasuk aspek kepelbagaian, intensiti, kompleksiti dan keaslian bercirikan Asia.

Kongres antarabangsa APSA merupakan acara dwitahunan yang telah diadakan sejak Ogos 1993, dengan melibatkan 36 buah sekolah perancangan berkeahlian dari universiti-universiti utama di Asia.

Sumber: TV Selatan