Hasrat Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) untuk memperkenalkan dan mengumpulkan kajian-kajian tentang suku Bugis telah tercapai melalui Konvensyen Antarabangsa Diaspora Bugis yang diadakan buat pertama kalinya pada 25 – 26 November 2011 yang lalu. Sebanyak 24 kertas kerja telah dihantar untuk membincangkan perihal sejarah, budaya dan senibina Bugis yang telah terdiaspora berabad-abad lamanya.

Konvensyen yang menyediakan acara seminar, gerai, pameran dan majlis makan malam yang berlandaskan Bugis ini telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 500 orang. Mereka ini datang daripada pelbagai daerah terutamanya persatuan-persatuan Bugis seperti Persatuan Bugis Johor, Persatuan Perpaduan Rumpun Bugis Melayu Malaysia, Tawau Sabah, Persatuan Komuniti Bugis Sabah, Persatuan Kebajikan Bugis Sabah, Persatuan Pelajar Indonesia yang berasal daripada Sulawesi Selatan, para akademik dan pengkaji-pengkaji sejarah serta orang-orang perseorangan yang berminat terhadap tajuk konvensyen ini.

Konvensyen Antarabangsa Diaspora Bugis ini telah di rasmikan oleh Dekan Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmad Nazri Muhamad Ludin. Turut hadir ialah wakil Konsulat Indonesia di Johor Bahru, wakil kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, Pengerusi Persatuan Bugis Johor dan wakil-wakil dari pertubuhan yang lain. Pameran yang diadakan mempamerkan hasil senibina Bugis di Sulawesi Selatan dan juga di Johor, baju Bugis, perkakasan harian masyarakat tersebut, gambar-gambar lama maupun perahu pinisi yang terkenal dikalangan masyarakat Bugis.

24 pembentangan kertas kerja mengenai budaya, sejarah dan senibina diadakan oleh pembentang kertas kerja dari Indonesia, Singapura dan Malaysia sendiri. Seminar ini telah menyingkap tentang pelbagai fakta yang tidak pernah diketengahkan selama ini seperti sejarah kemasukkan masyarakat Bugis ke Tanah Melayu, kejayaan masyarakat Bugis dalam menguasai perniagaan di Singapura, nasib suku Bugis yang telah lama merantau serta adat, budaya dan senibina yang mereka bawa sewaktu merantau. Fakta yang dibentangkan cukup membuka mata dan memberi pengetahuan yang cukup berguna dan bermakna.

Pada malam hari kemuncak pula, Konvensyen Antarabangsa Diaspora Bugis diserikan lagi dengan keberangkatan DYMM Sultan Johor ke majlis makan malam yang bertemakan Bugis.  Makanan Bugis seperti Burasak dan Ikan Terubuk masak metti telah dihidangkan kepada tetamu yang hadir dengan iringan Gambus dari Persatuan Bugis Johor dan persembahan teater dari Persatuan Pelajar Indonesia. DYMM Sultan Johor telah berkenan melihat pameran senibina Bugis anjuran pihak KALAM dan beramah mesra bersama para tetamu yang hadir.