by webmaster FAB | Mar 11, 2015 | In The Press, News |

Fakulti Alam Bina UTM bantu aspek reka bentuk
PASIR GUDANG 1 Mac – Kerajaan negeri bakal memberi perhatian kepada aplikasi seni bina yang mempamerkan identiti Johor dalam pelan pembinaan masjid di seluruh negeri pada masa depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pada masa kini reka bentuk dan seni bina masjid di negeri ini adalah pelbagai dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Fakulti Alam Bina diharap dapat memberi cadangan reka bentuk yang bersesuaian.
“Masjid Sultan Abu Bakar di bandar raya ini boleh dijadikan contoh, dan mungkin suatu kajian perlu dilakukan bagi mengemukakan cadangan baru.
“Selain masjid, dewan raya dan balai raya juga boleh dijadikan identiti kerana sebelum ini ia hanya ditonjolkan menerusi pemakaian seperti baju teluk belanga,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Besar Bandar Seri Alam, di sini hari ini.
Masjid Besar Bandar Seri Alam yang dijangka siap pada awal tahun depan membabitkan kos pembinaan sejumlah RM9juta. Ia dijangka mampu menampung kira-kira 1,800 jemaah pada suatu masa.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata, buat masa ini terdapat 24 masjid baru dalam pembinaan dan kerajaan negeri menyasarkan 80 masjid baharu dalam tempoh 14 hingga 18 bulan mulai sekarang.
Menurutnya, kos keseluruhan bagi pembinaan kemudahan berke-naan adalah RM164juta dengan 75 peratus pembiayaan kerajaan pusat dan bakinya oleh kerajaan negeri.
“Pembinaan masjid baru ini mampu menampung keperluan umat Islam bagi menunaikan ibadah solat dan mengadakan aktiviti keagamaan,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
by webmaster FAB | Mar 4, 2015 | In The Press, News |
JOHOR BAHARU, 1 Mac (Bernama) — Satu usaha akan digerakkan supaya masjid dan dewan yang dibina di Johor pada masa depan lebih bercirikan identiti seni bina negeri ini, kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata negeri Johor memiliki identiti seni bina yang unik dan tersendiri seperti yang terdapat pada bangunan Masjid Sultan Abu Bakar di sini.
“Kerajaan negeri akan merujuk kepada Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) supaya boleh mencadangkan reka bentuk bangunan yang akhirnya apabila dilihat orang ramai, mereka akan mengetahui ia adalah masjid di Johor.
“Pada masa depan, kami akan memberi perhatian kepada perkara ini kerana ia akan menyumbang kepada identiti negeri dengan memfokuskan masjid dan dewan yang akan dibina,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah pembinaan Masjid Besar Bandar Seri Alam, di Pasir Gudang di sini.
Menteri Besar berkata sebanyak 80 masjid akan dibina di seluruh Johor dalam tempoh dua tahun dengan 24 daripadanya sudah dalam proses pembinaan.
Sementara itu, menerusi laman Facebooknya, Mohamed Khaled menjawab kegusaran orang ramai yang mendakwa pembangunan pesat di bandar raya ini akan meminggirkan orang Melayu di kawasan bandar.
Beliau menjelaskan, hampir semua 105 inisiatif baharu yang dibentangkannya dalam Bajet Johor 2015 akan dinikmati masyarakat Melayu walaupun bukan dilakukan khas atas nama dan kepentingan Melayu.
“Kami sudah acapkali menghebahkan yang kami telah merekodkan peningkatan yang begitu besar dalam peratusan tanah rizab Melayu di Johor.
“Dasar kami bukan sahaja tanah rizab Melayu harus bertambah tetapi kami juga memperkenalkan dasar bahawa Melayu mesti menduduki kawasan bandar melalui Lingkaran Melayu di bandar,” katanya.
Beliau menjelaskan lebihan hasil dan rizab yang masing-masing berjumlah RM374 juta dan RM2.3 bilion yang dicatatkan kerajaan negeri Johor pada 2014 akan digunakan untuk pembangunan prorakyat di seluruh negeri ini.
Mohamed Khaled turut mengumumkan kerajaan negeri Johor sudah meningkatkan sasaran pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) daripada 37,000 unit kepada 42,000 unit dengan harga di bawah RM150,000 tidak termasuk projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
“Kerajaan negeri juga menaikkan had maksimum kelayakan pendapatan isi rumah bagi pembelian RMMJ dan kedai kos sederhana daripada RM6,000 (sebulan) dan RM7,000 kepada RM8,000 mengikut kuota kaum dengan pembahagian 65 peratus untuk Melayu, 25 peratus bagi Cina dan selebihnya untuk India,” katanya.
— BERNAMA
Kredit: BERNAMA – Johor Akan Bina Masjid, Dewan Bercirikan Identiti Negeri.
by webmaster FAB | Nov 3, 2014 | In The Press, News |
JOHOR BAHARU, 27 Okt (Bernama) — Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berhasrat untuk menjadi pelopor dalam usaha merakam dan mendokumentasikan bangunan warisan di seluruh Asia Tenggara, kata pensyarah kanan fakulti itu Dr Alice Sabrina Ismail.
Beliau berkata, selain memberi manfaat ilmiah kepada pelajar dan pensyarah seni bina UTM, usaha itu diharap dapat memastikan identiti seni bina warisan di rantau tersebut dapat dipelihara dan diperturunkan kepada generasi akan datang.
Usaha yang melibatkan kerja-kerja lukisan terukur itu akan dilaksanakan melalui Pusat Kajian Alam Bina Melayu (KALAM) UTM.
“Sehingga kini KALAM mempunyai lebih 400 koleksi dokumentasi bangunan seperti rumah kediaman, istana, masjid, bangunan awam, bangunan komersial, wakaf, madrasah dan makam yang terdapat di Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Bengkel Kerjasama Seni Bina Antarabangsa 2014 antara Fakulti Alam Bina UTM dengan Fakulti Seni Bina Universiti Teknologi Rajamangala Thanyaburi dan Fakulti Seni Bina Universiti Rangsit di sini Isnin.
BACA SELANJUTNYA DI www.bernama.com
by webmaster FAB | Nov 3, 2014 | In The Press, News, newspaper |

Kredit Foto: Utusan
JOHOR BAHRU 28 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berhasrat menjadi pelopor dalam usaha mendokumentasikan bangunan warisan di seluruh rantau Asia Tenggara menerusi Pusat Kajian Alam Bina Melayu (Kalam) di bawah Fakulti Alam Bina yang ditubuhkan pada pertengahan tahun 1990-an.
Pensyarah Kanannya, Dr. Alice Sabrina Ismail berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan identiti dan seni bina warisan tempatan terus terpelihara dan dapat dikekalkan untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Menurutnya, hingga kini Kalam telah mendokumentasikan kira-kira 400 bangunan seni bina warisan dari negara ini dan Indonesia sejak usaha tersebut dimulakan pada tahun 1970-an.
“Kita berharap selepas ini akan mendapat kerjasama daripada universiti di Thailand untuk sama-sama mendokumentasikan bangunan warisan yang terdapat di negara berkenaan,” katanya selepas menghadiri Bengkel Kerjasama Senibina Antarabangsa di sini semalam.
BACA SELANJUTNYA: www.utusan.com.my