Program Mapathon dan penutup program Grab Geo*Stars yang julung-julung kali dianjurkan hasil kerjasama strategik antara Grab Malaysia dengan Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program Mapathon yang ditaja sepenuhnya oleh Grab Malaysia telah diadakan di makmal komputer Ukur Bahan dan Perancangan Bandar & Wilayah FABU. Tujuan program Mapathon adalah untuk memupuk semangat sukarelawan di kalangan mahasiswa UTM di dalam aktiviti pemetaan komuniti menggunakan platform percuma, OpenStreetMap. Sepanjang program, peserta bertanding mendigit jaringan jalan raya dan tempat menarik atau lokasi yang menjadi kebiasaan peserta yang masih tidak direkod didalam peta OpenStreetMap.

OpenStreetMap merupakan satu platform percuma yang dibangunkan oleh aktivis OSM di seluruh dunia sejak tahun 2006 untuk mewujudkan satu peta dunia secara percuma melalui sumbangan data secara sukarela daripada penduduk komuniti setempat. Peta OSM telah banyak digunakan sebagai peta asas dalam aktiviti kemanusian ketika bencana seperti semasa gempa bumi di Pergunungan Everest, Nepal pada tahun 2015 dan terkini semasa puting beliung (Cyclone) Idai melanda Mozambique pada awal tahun 2019. Peta OSM juga menjadi peta asas dalam penyelidikan mahasiswa UTM.

Program Mapathon yang dilangsungkan selama sehari itu telah dihadiri oleh 98 mahasiswa daripada Program Geoinformatik, Perancangan Bandar dan Wilayah dan beberapa peserta jemputan luar fakulti. Program tersebut telah dijayakan oleh 17 peserta Grab*GeoStars yang terdiri daripada mahasiswa siswazah dan pascasiswazah Program Geoinformatik yang terpilih yang diketuai oleh Saudari Siti Zulhusna Binti Zulkefli.Terdapat dua kategori yang dipertandingkan dalam pertandingan tersebut iaitu pendigitan fitur jalan dan pendigitan fitur tempat menarik. Bagi pemenang terbanyak pendigitan fitur jalan telah dimenangi oleh Muhamad Afifi Bin Md.Yatim dan Nazatul Suhaila Binti Abdul Aziz daripada Program Geoinformatik.

Manakala bagi kategori pendigitan fitur tempat menarik telah dimenangi oleh Gabrielina Chai Fui Tze danΒ  Mohammad Hairul Razem Bin Kamaruzzaman daripada Program Perancangan Bandar & Wilayah. Program tersebut telah dirasmikan dalam majlis penutup pada sebelah petang oleh Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi, Pembangunan dan Alumni, Fakulti Alam Bina iaitu Prof. Madya Dr. Zulkepli Majid diiringi oleh Penyelaras Program iaitu Dr Nurul Hawani Idris dibantu oleh Dr NoorDini Che’Man dan Dr NoorDyana Hassan. Sijil penghargaan kepada fasilitator Grab Geo*Stars juga telah diberikan olehΒ  Map Ops Country Lead, Puan Nurmalina Zainal Abidin.

Aktiviti mapathon ini diharap dapat membantu melahirkan lebih banyak lagi sukarelawan OSM untuk melengkapkan lagi data berkualiti di dalam peta OSM Malaysia agar setanding dengan peta OSM di negara-negara maju. Diharap program libat sama bersama industri akan terus diadakan untuk memantapkan lagi pembangunan sahsiah dan akademik mahasiswa FABU.

more photos (click here)