Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) melalui Program Pentadbiran dan Pembangunan Tanah, telah menganjurkan program “Hari Bersama Alumni Pentadbiran Dan Pembangunan Tanah 2019” yang bertemakan Laluan Kerjaya bertujuan agar pihak alumni dapat memberi input kepada para pelajar dalam persediaan menghadapi dunia pekerjaan.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Y.Bhg Dekan Fakulti Alam Bina & Ukur, Prof. Ts Dr Mohd Hamdan Ahmad.

Menurut Prof. Ts Dr Mohd Hamdan Ahmad, FABU amat berbesar hati dan berbangga dengan kehadiran lima orang Alumni yang terdiri daripada Puan Azleena Azreen Binti Adian, Pegawai di Cahaya Jauhar Sdn Bhd, Encik Mohd Shahrizan Bin Sahid, Ketua Unit Pengurusan, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor (SSI),  Puan Mastura Binti Mazlan, Eksekutif Kanan Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd, Encik Mohd Nazeri Bin Awang, Pengurus Ladang di Felda Global Ventures Plantations Malaysia dan Encik Mohd Rashid Bin Abd Rahup, Penolong Pendaftar di Pejabat Pengajian Prasiswazah Universiti Teknologi Malaysia.

Menurut Penyelaras Program Pentadbiran Dan Pembangunan Tanah, Dr. Norhidayah Md. Yunus, objektif program seperti ini dianjurkan adalah untuk mengeratkan kerjasama pihak fakulti amnya dan Program Pentadbiran dan Pembangunan Tanah khususnya bersama alumni, membuka peluang kerjasama di antara pihak fakulti dan alumni, memberi pendedahan kepada pelajar dalam menghadapi cabaran dalam dunia pekerjaan kelak dan perkongsian ilmu pihak alumni bersama pelajar- pelajar.

Program ini disertai oleh pelajar-pelajar prasiswazah Tahun 2 dan Tahun 4 Program Pentadbiran dan Pembangunan Tanah.