
WAHID OMAR (depan, lima dari kiri) bersama ahli akademik dan pengamal bidang perancangan bandar tempatan serta antarabangsa menyertai Kongres Antarabangsa Asian Planning School Association ke-13 di UTM, Johor Bahru, semalam. Utusan/FATHIN SUHAIRA ABD. RAHIM
Kredit Foto: Utusan
JOHOR BAHRU 12 Ogos – Seramai 250 ahli akademik terdiri daripada penyelidik dan pengamal bidang perancangan bandar tempatan dan antarabangsa menyertai Kongres Antarabangsa Asian Planning School Association (APSA) ke-13 di Universiti Teknologi Malaysia, di sini hari ini.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Wahid Omar berkata, kongres selama tiga hari itu melibatkan perbincangan intelektual dan kritikal keadaan semasa dan hala tuju masa hadapan perbandaran serta perancangan bercirikan Asia.
Katanya, melalui APSA 2015, UTM mengambil peranan sebagai peneraju dalam menyumbang kepada rumusan satu Agenda Perbandaran Asia yang bakal menjadi panduan kepada pendidikan dan amalan perancangan rantau Asia dalam abad ke-21.
“Perumusan agenda perbandaran yang khusus kepada konteks Asia adalah penting dalam kita menjangkakan pelbagai isu khusus dan tahap perbandaran yang belum pernah terjadi di rantau ini dalam aspek kepelbagaian, intensiti, kompleksiti dan keaslian.
“Justeru kongres kali ini amat penting, kerana bandar-bandar Asia menghadapi pelbagai cabaran ekonomi, sosial dan alam sekitar yang semakin meningkat di peringkat global, wilayah dan tempatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian kongres tersebut.
Menurut Wahid, kongres kali ini menjanjikan pertukaran ilmu dan pengalaman dengan pembentangan sejumlah tiga kertas ucaptama dan 182 kertas kerja di mana 80 peratus daripadanya dihantar peserta antarabangsa dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Korea Selatan, India, China, Taiwan, Singapura, Thailand dan Indonesia.
Katanya, kongres juga membuktikan UTM dan APSA merupakan pelantar antarabangsa dan serantau yang sesuai untuk perbincangan intelektual mengenai perancangan bandar dan wilayah.
“Apa yang membanggakan,penganjuran APSA meletakkan UTM setara dengan universiti terkemuka Asia yang menganjurkan kongres ini sebelum ini seperti Universiti Tokyo, Universiti Nasional Seoul, Universiti Tongji, Universiti Nasional Taiwan, Universiti Hong Kong dan Universiti Nasional Singapura.
“Sebagai universiti penyelidikan dan hab ilmu untuk Lembah Inovasi Skudai dengan kedudukan strategik dalam Iskandar Malaysia, UTM adalah lokasi yang tepat untuk acara bernilai intelek dan berimpak tinggi seperti Kongres Antarabangsa APSA,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia