Pakar FABU UTM Terbitkan Terjemahan Bahasa Melayu bagi Istilah Geospatial dalam Piawaian Antarabangsa ISO/TC211

Pakar FABU UTM Terbitkan Terjemahan Bahasa Melayu bagi Istilah Geospatial dalam Piawaian Antarabangsa ISO/TC211

Oleh: Sr. Gs. Dr Zakri Tarmidi dan Sr. Siti Zuraida binti Kadir

Bidang Sains Maklumat Geografi (GIS) telah digunakan oleh pelbagai bidang, termasuk perancangan, ukur tanah, pertanian, geologi dan lain-lain.

Setiap bidang mempunyai pelaksanaan yang berbeza dalam melaksanakan GIS, dan ini menyebabkan perbezaan dari pelbagai segi, terutama bentuk data, model data, kaedah penyimpanan data, pemprosesan data, seterusnya kepada hasil akhir data geospatial.

Untuk memastikan pelaksanaan GIS dan perkara berkaitan data geospatial ini selaras, pihak Organisasi bagi Piawaian Antarabangsa (ISO) telah mewujudkan satu jawatankuasa khas, iaitu Jawatankuasa Teknikal ISO/TC211, Geographic Information/Geomatics. ISO/TC211 bertanggungjawab untuk merekabentuk, dan membangunkan piawaian berkaitan data geospatial, proses pembangunan data geospatial, pengumpulan data geospatial, pemprosesan, analisis, capaian, dan pemindahan serta perkongsian data geospatial secara atas talian.

Malaysia juga mempunyai wakil di ISO/TC211, malah terdapat jawatankuasa khas di peringkat kebangsaan, iaitu dikenali sebagai Jawatankuasa Teknikal 2 (TC2) yang juga mempunyai fokus yang sama, akan tetapi memfokuskan kepada piawaian berkaitan geospatial di Malaysia.

TC2 sering bekerjasama dengan Jabatan Standard Malaysia (JSM), dan Pusat Geospatial Negara (PGN) dalam membangunkan piawaian-piawaian berkaitan geospatial di Malaysia.

Malah, untuk memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, pihak PGN dengan kerjasama JSM dan TC2 telah membangunkan Glosari Istilah Pelbagai Bahasa (Multi-Lingual Glossary of Terms, MLGT) dalam Bahasa Melayu.

Ianya dilaksanakan dengan menubuhkan satu kumpulan kerja khusus, iaitu Kumpulan Kerja Standardisasi MLGT (KK MLGT), yang bertujuan untuk meningkatkan konsistensi dalam menggunakan dan penafsiran istilah-istilah berkaitan geospatial.

KK MLGT ini ditubuhkan pada tahun 2017 dan dipengerusikan oleh pensyarah dari Jabatan Geoinformasi, Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM, Sr. Gs. Dr Zakri Tarmidi.

Sehingga kini, KK MLGT telah berjaya menterjemahkan sebanyak 360 istilah daripada istilah berbahasa Inggeris kepada istilah dalam Bahasa Melayu.

Malah, pihak KK MLGT juga telah bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memastikan kesahihan istilah-istilah yang diterjemahkan, dan seterusnya memasukkan istilah-istilah bagi bidang geospatial ini ke dalam laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) di masa akan datang. Ianya akan lengkap dengan istilah-istilah, terjemahan Bahasa Melayu, dan definisi bagi setiap istilah ini.

Menuju ke depan, KK MLGT dengan kerjasama PGN dan DBP akan terus menterjemahkan lebih banyak istilah berkaitan geospatial ini ke dalam Bahasa Melayu, dan seterusnya menerbitkan istilah-istilah glosari ini ke dalam kamus khusus untuk bidang geospatial.

Semoga usaha ini berterusan dan berjaya di masa akan datang.

*Dr Zakri Tarmidi merupakan pensyarah kanan di FABU, UTM, dan Pengerusi kepada Kumpulan Kerja MLGT bermula tahun 2020

*Sr Siti Zuraida binti Kadir merupakan Penolong Pengarah Ukur, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Selangor, dan Sekretariat Kumpulan Kerja MLGT.

 
Mesyuarat AGM Persatuan Mahasiswa Perancang Bandar Dan Wilayah UTM (Pewibawa) Sesi 2021/2022

Mesyuarat AGM Persatuan Mahasiswa Perancang Bandar Dan Wilayah UTM (Pewibawa) Sesi 2021/2022

Pada 2 September 2021 (Khamis) lalu, Persatuan Mahasiswa Perancang Bandar dan Wilayah UTM (PEWIBAWA) telah mengadakan sebuah Mesyuarat Agung Tahun (AGM) bagi tahun 2021/2022 memilih barisan kepimpinan Majlis Tertinggi (MT) baru persatuan.

Majlis tersebut telah diadakan secara atas talian dihadiri oleh 87 orang pelajar. Sepanjang tempoh kepimpinan barisan Majlis Tertinggi (MT) sesi 2020/2021 sebanyak 12 program telah dianjurkan meliputi bengkel kemahiran dan siri kuliah umum.

Di sepanjang tempoh pandemik Covid-19, penganjuran program oleh PEWIBAWA tidak melibatkan sebarang kos dan dianjurkan secara percuma atas talian.

Pengarah Program Perancangan Bandar dan Wilayah (PBW) UTM, Prof. Madya TPr. Dr. Hairul Nizam Ismail telah hadir merasmikan AGM tersebut. Majlis bermula dengan ucapan mantan Presiden PEWIBAWA sesi 2020/2021 saudara Muhammad Syamim Qayyum bin Roslan.

Turut hadir Penasihat Persatuan PEWIBAWA, Dr. Noor Aimran Samsudin.

Dalam ucapan beliau, di bawah kepimpinan baru PEWIBAWA perlu bergerak dalam suatu visi untuk memperkasakan aktiviti berpersatuan selaras dengan hasrat universiti. Selain menganjurkan program untuk kepentingan ahli-ahli persatuan, persatuan juga disaran untuk menganjur program yang dapat memberi manfaat kepada komuniti di luar secara maya.

Saranan tersebut turut disampaikan oleh Pengarah Program PBW yang mengesyorkan supaya para pelajar mengambil peluang secara aktif melibatkan diri membina hubungan dengan semua pihak berkepentingan seperti PLANMalaysia, Pertubuhan Perancang Bandar Malaysia (MIP), agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan industri di luar melalui platform PEWIBAWA.

Pihak Program PBW atau jabatan akan membantu persatuan untuk menganjurkan pelbagai webinar atau program yang akan dapat meningkatkan kemahiran pelajar menguruskan acara, berkomunikasi dan membina keyakinan diri.

Dalam AGM tersebut, buat pertama kali seorang siswi, saudari Nabiha binti Mohd Khusairy telah terpilih sebagai Presiden PEWIBAWA sesi 2021/2022 bersama 10 orang barisan MT yang baru akan memacu persatuan ke arah kecemerlangan selari dengan UTM enVision 2025.

Disediakan oleh:

Dr. Noor Aimran Samsudin

Penasihat PEWIBAWA

Rajah 1: Sebahagian ahli-ahli PEWIBAWA yang turut serta.
Rajah 2: Ucapan perasmian oleh Prof. Madya TPr. Dr. Hairul Nizam Ismail, Pengarah Program Perancangan bandar & Wilayah UTM.
Rajah 3: Ucapan alu-aluan oleh Dr. Noor Aimran Samsudin selaku penasihat PEWIBAWA
Rajah 4: Ucapan Nabiha Mohd Khusairy selaku Presiden PEWIBAWA sesi 2021/2022.
 
Mesyuarat Dua Hala bagi hubungan kerjasama di antara PDRM dan FABU dalam aplikasi teknologi geospatial dalam bidang forensik

Mesyuarat Dua Hala bagi hubungan kerjasama di antara PDRM dan FABU dalam aplikasi teknologi geospatial dalam bidang forensik

Deligasi dari Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (JSJ, PDRM) diketuai oleh YDH DCP Ahmad Taufek bin Abdullah, Timbalan Pengarah (Forensik/Perancangan Strategik) bersama sembilan (9) orang pegawai kanan polis dari Bahagian D10 (Forensik), Bahagian D4 (Risikan / Operasi / Rekod Jenayah), Bahagian D13 (Data Bank / DNA) dan Jabatan Pengurusan (Latihan) menghadiri Mesyuarat Dua Hala bagi hubungan kerjasama di antara kedua-dua buah organisasi dalam aplikasi teknologi geospatial dalam bidang forensik .
Deligasi turut membuat kunjungan hormat kepada YBhg Datuk Naib Canselor di Bangunan Canselori Sultan Ibrahim.
Memorandum Persefahaman (MOU) UTM bersama Jabatan Tanah dan Survei, Negeri Sarawak (JTS)

Memorandum Persefahaman (MOU) UTM bersama Jabatan Tanah dan Survei, Negeri Sarawak (JTS)

6 SEPTEMBER 2021
Hos: Kerajaan Negeri Sarawak
Setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Datuk Patinggi Dr. Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg (Ketua Menteri Sarawak), YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Bin Ali Hasan (Timb. Ketua Menteri Sarawak), YBrs Encik Abdullah Bin Julaihi (Ketua Pengarah Tanah dan Survei, Sarawak) dan VIP yang lain dalam majlis menandatangani MOU antara UTM dan JTS secara maya pada pagi ini. UTM melalui Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) mempunyai kepakaran dalam bidang alam bina dan ukur seperti Geoinformasi, Harta Tanah, Senibina, Senibina Landskap, Perancangan Bandar & Wilayah dan Ukur Bahan; berupaya untuk menggembling tenaga bersama Kerajaan Negeri Sarawak bagi memperkasakan bidang-bidang tujahan ini agar aspek kemajuan ekonomi melalui dasar Ekonomi Digital dapat tercapai.
Antara kepakaran yang boleh ditawarkan ialah dalam aspek pengurusan tanah yang bersistematik seperti penjanaan maklumat geoinformasi bersepadu bagi menyokong inovasi potensi pengurusan penggunaan tanah, penilaian, teknikal dan teknologi.
Keadaan ini sangat memerlukan kerjasama kedua-dua pihak agar aspek fundamental yang dibangunkan dalam akademik dan penyelidikan dapat dipraktiskan di lapangan seperti di JTS Negeri Sarawak. Tahniah Faculty of Built Environment & Surveying, UTM Johor Bahru atas termeterainya MOU ini. more photos click here..
FABU Julung Kali Raikan Graduan Melalui Konvokesyen Dalam Talian

FABU Julung Kali Raikan Graduan Melalui Konvokesyen Dalam Talian

Johor Bahru, 21 Feb – Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menganjurkan Majlis Meraikan Graduan FABU 2020  pada 21 Februari 2021 yang lalu untuk meraikan graduan yang telah menamatkan pengajian mereka di FABU dengan cemerlang.

Penularan wabak Covid-19 yang diklasifikasi sebagai pandemik telah memberi impak kepada penganjuran Majlis Konvokesyen di peringkat Universiti.

Oleh yang demikian, pihak pengurusan FABU telah mencetus inisiatif untuk meraikan seramai 728 orang graduan yang terdiri daripada 543 orang graduan Ijazah Sarjana Muda, 145 orang graduan Ijazah Sarjana dan 40 orang graduan Ijazah Doktor Falsafah.

Manakala 152 orang graduan Ijazah Sarjana Muda merupakan penerima Anugerah Dekan bagi tahun 2020.

Majlis yang gilang-gemilang ini telah membuka tirainya dengan ucapan aluan oleh Dekan FABU, Y.Brs. Prof. Sr Dr. Hishamuddin bin Mohd Ali. Dalam ucapannya, beliau menyeru para graduan untuk membina kekuatan bagi menghadapi ranjau yang mendatang selain berfikir secara pragmatik dan realistik dalam mencari pekerjaan pada kala pandemik yang melanda negara dan dunia.

Beliau juga menyeru agar para graduan untuk berani meneroka peluang di luar kebiasaan untuk membangungkan dan meneruskan kerjaya.

Y.Brs. Prof. Sr Dr. Hishamuddin bin Mohd Ali juga merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Naib Canselor UTM, Y.Bhg Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail atas sokongan dan dorongan yang telah diberikan kepada FABU untuk menuju kecemerlangan.

Gambar 1: Ucapan aluan oleh Dekan FABU, Y.Brs. Prof. Sr Dr. Hishamuddin bin Mohd Ali

Majlis ini juga telah memberi peluang kepada dua (2) orang wakil graduan untuk menyampaikan ucapan penghargaan serta berkongsi pengalaman mereka sepanjang pengajian di FABU, UTM.

Wakil graduan pascasiswazah ialah Dr. Dalhatu Aliyu Sani dari graduan Ijazah Doktor Falsafah Geoinformatik dan wakil graduan prasiswazah Saudari Suhaili Najwa binti Masrul, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Geoinformatik.

Gambar 2: Ucapan penghargaan oleh wakil pascasiswazah, Dr. Dalhatu Aliyu Sani
Gambar 3: Ucapan penghargaan oleh wakil prasiswazah, Saudari Suhaili Najwa binti Masrul

Dalam ucapan mereka, telah dikongsikan pengalaman suka dan duka sepanjang mereka berada di FABU secara khususnya bagi menyelesaikan pengajian dan matlamat masing-masing.

Di kesempatan itu juga, wakil graduan tersebut mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pensyarah, pihak pengurusan fakulti dan universiti atas usaha yang teguh dalam membantu pelajar-pelajar untuk terus cemerlang sehingga mereka berjaya menamatkan pengajian.

Majlis Meraikan Graduan FABU 2020 melaburkan tirainya dengan nyanyian lagu Keunggulan Terbilang dan lambaian terakhir daripada graduan, pensyarah, staf dan ibu bapa. Dengan itu, seramai 543 orang graduan FABU 2020 secara rasminya telah menjadi alumni UTM. Semoga majlis ini membawa kegembiraan kepada semua graduan yang diraikan.

Webex Link Facebook Majlis Meraikan Graduan FABU 2020 : https://fb.watch/3P754cYR_J/

 

Disediakan oleh:

Hanis Amirah binti Roslin